Tarik sokongan: Segelintir pemimpin UMNO tidak bersyukur, tamak
KUALA LUMPUR - UMNO sudah mendapat lebih daripada apa yang parti itu layak apabila ahli Parlimennya memberi kerjasama dan bersetuju untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dalam pembentukan dan pentadbiran kerajaan Persekutuan yang ada, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.
Justeru, ujarnya adalah tidak wajar bagi UMNO untuk meninggalkan kerajaan PN terutamanya ketika negara bergelut dengan pandemik Covid-19 yang kebanyakan urusan penting berkaitan pandemik itu diuruskan oleh menteri-menteri daripada UMNO.
“Dengan 38 kerusi, UMNO dapat timbalan perdana menteri, menteri kanan, 19 menteri dan timbalan menteri.
Kita dapat lebih daripada apa yang layak, kita pembangkang dulu, jadi tak boleh tamak,” kata ahli Parlimen UMNO itu kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara Bernama TV malam tadi.
Annuar, yang juga ahli Parlimen Ketereh, mempersoalkan hala tuju UMNO jika parti itu yang kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, meneruskan keputusan untuk tidak menyokong kerajaan PN.
“Kita (UMNO) ini hendak pergi ke mana?
Suruh keluar daripada kerajaan tetapi tidak bagi tahu hendak pergi ke mana.
Kita ada 38 kerusi Parlimen sahaja, kalau hendak bentuk kerajaan kena ada 110, lagi 90 kerusi hendak ambil dari mana?
Saya tak mahu sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
"Ada kekeliruan dalam pendirian UMNO berhubung soal kerjasama parti Melayu itu dengan kerajaan PN," katanya yang mencadangkan agar UMNO perlu duduk semeja bagi membincangkan hala tuju parti itu.
Tegas Annuar, adalah tidak wajar jika menteri-menteri parti itu menarik diri daripada tanggungjawab yang besar dalam membantu rakyat menghadapi pandemik Covid-19 yang masih merunsingkan.
Misalnya, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bertanggunjawab dalam soal kesihatan dan Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjaga soal keselamatan dan Covid-19 secara keseluruhannya.
“Katakanlah, Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) yang menjaga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tengah sibuk dengan vaksinasi.
Tiba-tiba keluar kerajaan.
Macam itu ke tanggungjawab kita?” katanya sambil mempersoalkan sikap segelintir pemimpin UMNO yang tidak bersyukur dengan kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan oleh kerajaan PN kepada parti tersebut.
”Saya tidak mahu anak cucu saya menyumpah esok, katakan sesuatu terjadi pada negara dengan perbuatan kita, tiba-tiba orang kata ini berlaku kerana UMNO lari daripada tanggungjawab.
Tak boleh," katanya.
Mengimbas kembali penubuhan PN, kata Annuar, Barisan Nasional berikrar menyokong kerajaan PN tanpa menjadi ahlinya dan yang lebih unik ialah UMNO membuat ketetapan sokongan itu berdasarkan sokongan ahli-ahli Parlimennya.
"Sebab itu waktu menyokong kerajaan ini, ia tidak dibawa ke Majlis Tetinggi UMNO.
Ia dibuat daripada ahli-ahli Parlimen UMNO yang bertemu, menandatangani akuan bersumpah (SD) dan sokongan atas ahli-ahli Parlimen itu sendiri.
Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam negara kita,” katanya.
Sewaktu membentuk kerajaan PN, ia untuk menyelamatkan negara daripada kegagalan kerajaan yang terdahulu setelah berlaku pepecahan disebabkan krisis dalaman disusuli dengan perletakan jawatan perdana menteri dan wujud ketidakstabilan politik negara.
"Untuk menyelamatkan keadaan dan memastikan negara dapat diuruskan dengan cara yang lebih teratur dan baik, maka berlaku satu gabungan politik dan ditakdirkan Allah SWT, gabungan ini belum pernah disaksikan dalam sejarah negara di mana parti-parti yang telah pecah seperti Bersatu, UMNO, PAS dan parti politik lain membentuk kerajaan tetapi dengan majoriti yang teramat tipis," katanya.
Kontroversi kedudukan UMNO dalam PN timbul kembali apabila Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumum pendirian Majlis Tertinggi UMNO untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Selasa lepas. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!