'Kerajaan sedia ada tidak maksum'
KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan kerajaan sedia ada tidak 'maksum', namun merupakan pilihan baik bagi mengelak 'mudarat' lebih besar.
Sambil menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berkata, pemimpin politik perlu berhenti daripada memainkan agenda dalam tempoh Covid-19 yang sedang mengganas di negara ini.
"Pada masa rakyat sengsara dengan isu Covid-19, sebolehnya kita jangan sangat berpolitik.
Kita wajib tumpu masa bantu rakyat.
Tingkatkan vaksinasi dan pulihkan ekonomi.
"Untuk kebaikan rakyat dan tidak banyak berpolitik, saya membuat keputusan untuk menyokong kerajaan sedia ada di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Idris yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berkata, jasa Muhyiddin tidak boleh dilupakan begitu sahaja terutama terhadap UMNO.
"Tan Sri Muhyiddin telah banyak membantu UMNO. Sebelum ini di bawah Pakatan Harapan (PH), kita (UMNO) adalah pembangkang.
Sekarang kita berada bersama-sama dalam kerajaan.
"Pemimpin UMNO telah diberi pengiktirafan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dilantik menteri-menteri kanan kerajaan.
"Beliau juga banyak berjasa membantu warga Felda. Bermula dengan bantuan sukuk bernilai RM9.9 bilion, diikuti baru-baru ini telah meluluskan penghapusan hutang berjumlah RM8.3 bilion.
"Saya percaya kita tidak akan jumpa lagi pemimpin sebegini yang berjiwa besar dalam membantu warga Felda," katanya.
Dalam pada itu, Idris berkata, polemik yang dicetuskan berhubung penarikan sokongan terhadap perdana menteri hanya akan memburukkan lagi keadaan ketika negara sedang berjuang menghadapi Covid-19.
"Saya tidak nampak 'game plan' di mana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ingin bawa dalam keadaan kesihatan rakyat masih diancam.
"Kita diarah menolak kerajaan sedia ada dan menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin.
Selepas itu ke mana kita?
Adakah kita hendak kembali menjadi pembangkang atau menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim?, " katanya.
Sehubungan itu, Idris menyeru supaya semua ahli UMNO meningkatkan solidariti di bawah kepimpinan sedia ada.
"Saya menyeru agar kita dapat tingkatkan solidariti dalam kalangan ahli UMNO.
Saya sayangkan UMNO, dulu, kini dan selamanya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!