Teruja dengan tawaran pulangan lumayan, tentera udara rugi ditipu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Teruja menerima tawaran bekerja daripada rumah dengan pulangan berganda daripada modal dikeluarkan, seorang tentera udara kerugian RM999 apabila ditipu individu tidak dikenali.

Kejadian bermula pada 23 Julai lalu apabila lelaki berusia 33 tahun itu yang berada di rumahnya di Besut menerima satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali menawarkan peluang pekerjaan sambilan dari rumah.

Menurut sumber, pada 25 Julai, sekali lagi mangsa ada menerima mesej sama yang menawarkan akan memberi panduan secara percuma seandainya mangsa berminat dengan tawaran tersebut.

"Kemudian, suspek menghantar satu pautan milik sebuah syarikat urusniaga dalam talian yang dikenali sebelum meminta mangsa menandakan 'like' pada pautan berkenaan.

"Mangsa turut diarahkan melakukan tangkapan skrin (screenshot) selepas melakukan tanda suka di pautan tersebut sebelum suspek menjanjikan setiap tanda suka yang dibuat akan diberi upah antara RM3 hingga RM4," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sumber berkata, pada malam hari sama, suspek mengarahkan agar mangsa menyertai 'group WhatsApp' yang dikongsi untuk tambah pendapatan dengan menjanjikan pulangan berlipat kali ganda.

"Pada 27 Julai, mangsa melakukan pindahan wang berjumlah RM999 ke dalam akaun diberikan dan suspek menjanjikan pulangan sebanyak RM1,299 akan dimasukkan sebaik mangsa membuat pembayaran.

"Pada hari yang sama juga, mangsa diarahkan membuat transaksi ke dalam akaun bank diberikan, namun belum sempat berbuat demikian, mangsa diarahkan sekali lagi melakukan pindahan wang ke akaun bank berbeza.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena selain menyedari dirinya sudah masuk ke dalam perangkap penipuan sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Jelasnya kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam masa sama, M Zambri menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan jangan terlalu mudah 'tergoda' dengan tawaran terutama membabitkan wang ringgit bagi mengelak diri ditipu, lebih-lebih lagi daripada individu tidak dikenali.

"Kami faham dalam situasi hari ini, ramai yang berhajat untuk membuat kerja-kerja sambilan bagi menambah pendapatan isi rumah, tetapi senario hari ini diambil kesempatan oleh sindiket penipuan yang tidak bertanggungjawab.

"Disebabkan itu, kita perlu lebih berhati-hati sebelum membuat keputusan terutama membabitkan pemindahan wang seperti diarahkan pihak terbabit meskipun alasan diberikan dilihat munasabah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!