Manifesto PH mula ditunaikan berperingkat
SEMENYIH - Manifesto PH pada PRU14 lalu, sudah mula ditunaikan secara berperingkat, kata Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Presiden Bersatu itu berkata, beliau faham bahawa rakyat tidak sabar menunggu dan mahukan segala janji diselesaikan segera, namun beliau meminta rakyat bersabar.
Beliau berkata, adalah tidak wajar untuk rakyat menghakimi kerajaan yang baharu sembilan bulan mengambil alih pemerintahan negara hanya kerana kegagalan melaksanakan semua manifestonya.
“Kita (kerajaan PH) sudah mula memberi dan menyampaikan segala bentuk bantuan dan pertolongan kepada rakyat yang memerlukan.
“Sembilan bulan (memerintah) bukan satu tempoh lama, ini bukan hendak memberi alasan tetapi bagi menjelaskan (bahawa) rakyat harus memberi ruang yang munasabah kepada kerajaan PH,” katanya ketika berucap pada Malam Kebudayaan Harapan Semenyih di Bandar Rinching di sini, malam ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berada di sini, berkempen bagi PRK DUN Semenyih.
PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.
Pengundian DUN Semenyih akan diadakan Sabtu ini. Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!