Cari titik pertemuan di bawah pimpinan Muhyiddin

Mustapa - Foto Bernama
Mustapa - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemimpin perlu mencari titik pertemuan dan kebersamaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pengumuman mengenai rancangan untuk mengadakan undi percaya di Parlimen pada September telah menenteramkan keadaan.

"Marilah kita bekerja sebagai satu pasukan demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk anak cucu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, Malaysia memerlukan keamanan dan kestabilan politik dalam memastikan negara terus mencatat kejayaan.

"Tempoh sebulan sebelum Parlimen bersidang harus digunakan sebaik mungkin untuk bermuafakat dan meletakkan negara dalam keadaan yang lebih stabil," katanya.

Beliau berkata, negara mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjadi sebuah negara maju kerana mempunyai pelbagai sumber dan modal insan yang berkualiti.

"Untuk mencapai matlamat sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kita perlu menggembleng seluruh tenaga dan buah fikiran mewakili pelbagai sektor bagi menangani krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang tidak pernah dialami," katanya.

Mustapa berkata, salah satu prasyarat untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi ialah pelaburan dalam dan luar negeri.

Artikel Berkaitan:

"Pelaburan adalah di antara pemangkin kepada pemulihan ekonomi yang dapat menyediakan peluang pekerjaan, menjana pendapatan dan meningkatkan eksport.

"Iklim pelaburan yang kukuh serta kestabilan politik akan memastikan Malaysia dapat terus menarik pelaburan dari dalam dan luar negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!