Sultan Selangor berkenan terima menghadap Ketua Pesuruhjaya SPRM

Sultan Sharafuddin (dua dari kanan) bersama Tengku Amir (kanan) mengadakan pertemuan dengan Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada Khamis. - Foto ihsan FB Selangor Royal Office
Sultan Sharafuddin (dua dari kanan) bersama Tengku Amir (kanan) mengadakan pertemuan dengan Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada Khamis. - Foto ihsan FB Selangor Royal Office
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan di sini pada Khamis.

Menerusi kemas kini di laman Facebook Selangor Royal Office, dalam pertemuan selama dua jam itu, Sultan Sharafuddin menzahirkan kebimbangan baginda terhadap peningkatan kes-kes rasuah di Selangor.

Selain itu, baginda turut diberi taklimat berhubung perkembangan terkini kes-kes rasuah di negeri ini.

"Baginda berharap SPRM dapat melakukan siasatan yang telus dan teliti supaya pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah," menurut kenyataan tersebut pada Khamis.

Hadir sama sewaktu pertemuan tersebut ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sementara itu, menerusi kemas kini berkenaan, Sultan Sharafuddin juga menyeru agar perbicaraan kes-kes rasuah dapat disegerakan dan mahkamah tidak melayan sebarang penangguhan kes tanpa alasan yang kukuh.

Ini berikutan baginda berpendapat rakyat sudah muak dan bosan melihat pendakwaan kes berlarutan terlalu lama.

"Baginda menyasarkan agar budaya rasuah di negeri ini dapat dibanteras dengan sepenuhnya supaya ia tidak menjadi masalah lebih besar dan boleh memudaratkan generasi masa hadapan serta merosakkan masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sultan Sharafuddin sebelum ini menzahirkan dukacita apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan di negeri itu yang terlibat dengan kegiatan rasuah.

Titah baginda, kurniaan darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri Selangor bagi pegawai kerajaan dan ahli-ahli politik yang didapati bersalah dalam rasuah akan ditarik balik.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Sharafuddin dukacita pegawai kerajaan Selangor terlibat rasuah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!