Nelayan Vietnam bakar bot elak dicekup
KUALA TERENGGANU - Seramai 18 nelayan Vietnam sanggup memperjudikan nyawa sendiri dengan bertindak membakar tayar di beberapa bahagian dua bot dinaiki mereka untuk menghasilkan asap tebal bagi mengelak daripada dicekup pihak berkuasa.
Bagaimanapun, tindakan mereka termasuk dua tekong berusia antara 17 hingga 44 tahun itu hanya sia-sia setelah mereka akhirnya berjaya ditangkap oleh sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Tangkapan dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari di Zon Maritim Kemaman, kira-kira 66 batu nautika dari Kuala Kemaman pada Selasa.
Kehadiran dua bot itu yang bertindak menceroboh perairan negara sebelum itu dikesan oleh Kapal Maritim (KM) Gemia yang sedang membuat rondaan rutin Op Khas Kuda Laut dan Op Naga Barat di perairan Terengganu.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, sejurus menyedari kehadiran mereka di lokasi diperhati, mereka nekad cuba melarikan diri sebelum KM Gemia terus mengejar dengan bertindak memintas serta merapat kedua-dua bot tersebut dan berjaya ditahan selepas hampir satu jam dikejar.
"Bagaimanapun, setibanya di lokasi, kru bot itu telah bertindak membakar tayar di beberapa bahagian bot yang mereka naiki serta pelbagai barangan yang ada di dalam bot bertujuan menghasilkan asap tebal agar bot APMM tidak dapat mendekati bot mereka.
“Selain itu mereka juga turut didapati memalsukan nombor pendaftaran bot mereka sendiri. Selalunya nombor bot nelayan Vietnam ini memaparkan lima nombor tetapi ia telah dipadamkan dan diganti dengan nombor pendaftaran baharu dengan hanya memaparkan tiga nombor sahaja di badan bot,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Kuala Terengganu, di sini pada Khamis.
Katanya perbuatan itu bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan dan denda daripada pihak perikanan Vietnam sekiranya mereka ditangkap oleh penguat kuasa negara asing yang lain.
Muhammad Suffi berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
Turut dirampas kira-kira 3.5 tan hasil laut termasuk ikan campur dan ikan baja, 1,500 liter diesel serta peralatan menangkap ikan yang dianggarkan berjumlah RM3 juta.
Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara serta Akta Imigresen 1959/63.
Dalam perkembangan berasingan, Maritim Malaysia pada Khamis telah melupuskan empat buah bot nelayan Vietnam secara menenggelamkannya untuk dijadikan sebagai tukun tiruan pada jarak empat batu nautika dari Pantai Batu Buruk, di sini.
“Dengan pelupusan bot sebagai tukun tiruan ini dapat mengimbangkan semula eko sistem yang telah rosak akibat aktiviti bot tunda yang menceroboh Zon A selain turut dijadikan sebagai tempat pembiakan ikan,” katanya.
Jelas beliau, kesemua bot berkenaan telah dilucutkan hak oleh mahkamah atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!