Zahid jangka peristiwa 'katak melompat' bakal berulang

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan peristiwa katak melompat akan berulang sama seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dalam beberapa minggu lagi.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, ia selepas pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bakal mengesahkan keabsahan jawatan beliau menerusi usul undi percaya di Dewan Rakyat pada September ini.

Justeru katanya, beliau meminta agar usul tersebut dilakukan secepat mungkin di Dewan Rakyat bagi mengelak peristiwa 'katak' melompat berulang

"Kena tahu sifat 'katak' bukan saja-saja melompat. Sama ada cari habuan atau mahu menyelamatkan diri.

"Sebab itu kita minta usul undi percaya atau tidak percaya di Dewan Rakyat disegerakan, sebelum ada lagi yang terperangkap, terpedaya atau terpesona dan sanggup menjadi 'katak'.

"Namun ingat rakyat sedang menilai jika ada wakil rakyat yang menjadi 'katak' seterusnya. Rakyat tahu apa perlu dilakukan ke atas 'katak' ini apabila tiba masa PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15)," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

'Katak melompat' yang dimaksudkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dipercayai merujuk kepada tindakan beberapa ahli politik yang bertukar parti atau mengubah pendirian sokongan selepas ditawarkan dengan jawatan atau habuan tertentu.

Pada Rabu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas menegaskan, bahawa keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada September ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau sudah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!