Pelan Antirasuah DBP 2021-2025 dilancar

Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah DBP 2021-2025 dirasmikan Mohd Zuki menerusi studio siaran langsung media sosial DBP pada Khamis.
Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah DBP 2021-2025 dirasmikan Mohd Zuki menerusi studio siaran langsung media sosial DBP pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Khamis melancarkan Pelan Antirasuah DBP 2021-2025 dengan menumpukan kepada empat bidang keutamaan iaitu pengurusan kewangan, tadbir urus, pengurusan bahasa, sastera dan penerbitan serta khidmat pengurusan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelan tersebut membuktikan pendirian dan kejituan semangat pihak pengurusan tertinggi DBP dalam meningkatkan keutuhan dan keberkesanan tadbir urus organisasi tersebut, selaras dengan saranan kerajaan mewajibkan badan berkanun untuk membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) masing-masing.

“Pelan Antirasuah Organisasi diperkenalkan sebagai inisiatif mandatori di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, melalui Strategi 2 iaitu memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan juga Strategi 6 iaitu memupuk tadbir urus baik dalam entiti korporat,” katanya ketika merasmikan Pelan Antirasuah DBP 2021-2025 yang diadakan secara maya pada Khamis.

Mohd Zuki juga berharap, pencapaian itu dapat dijadikan sumber inspirasi dan perangsang kepada agensi kerajaan lain, untuk membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi masing-masing, dalam membendung kegiatan rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran berkata, pelancaran pelan itu adalah penting untuk masa depan DBP.

“Pelan ini jadi menjadi galakan untuk memastikan budaya kerja di DBP, berasaskan intergiriti dan menjadikan rasuah antara musuh utama, bagi mengekalkan kesejahteraan negara dan organisasi khususnya,” katanya.

Pada masa sama, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, pelan itu merupakan alat pengurusan yang berkesan, dan boleh dijadikan panduan dalam menguruskan isu rasuah secara sistematik.

“Hal ini sekali gus dapat memudahkan pihak Lembaga Pengelola DBP, untuk memantau tadbir urus yang dilaksanakan oleh pengurusan DBP,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pelan yang meliputi empat bidang keutamaan, empat strategi, tujuh objektif strategik dan 42 insiatif jangka masa pendek dan panjang ini, akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sepanjang tahun 2021 hingga 2025. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!