'Semua hasil kerja keras selama ini....'

Parchment selepas berakhirnya acara 110 meter berpagar lelaki akhir di Stadium Olimpik, Tokyo pada Khamis. - Foto AFP
Parchment selepas berakhirnya acara 110 meter berpagar lelaki akhir di Stadium Olimpik, Tokyo pada Khamis. - Foto AFP
A
A
A

ATLET Jamaica, Hansle Parchment mencipta kejutan luar biasa di arena trek dan balapan Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila menyingkirkan juara dunia, Grant Holloway untuk memenangi acara 110 meter berpagar lelaki akhir di Stadium Olimpik, Tokyo pada Khamis.

Atlet kelahiran St Thomas berusia 31 tahun itu mencatat 13.04 saat untuk pingat emas bagi menyisihkan saingan Holloway yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dengan catatan 13.09s manakala seorang lagi pelari Jamaica, Ronald Levy meraih gangsa dengan 13.10s.

“Sesuatu perasaan yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata, apatah lagi semuanya adalah hasil kerja keras selama ini. Namun saya masih tidak percaya mampu mengalahkan Holloway.

“Setiap kali selepas melepasi pagar halangan terutamanya halangan terakhir, saya biasanya selalu berasa di zon selesa terlalu awal, namun jurulatih selalu ingatkan untuk kekal konsisten dalam larian dan itulah yang saya lakukan pada hari ini,” kata pemenang gangsa di London 2012 tersebut.

Parchment (tengah), Holloway (kiri)) dan Levy selepas berakhirnya acara 110 meter berpagar lelaki akhir di Stadium Olimpik, Tokyo pada Khamis. - Foto AFP
Parchment (tengah), Holloway (kiri)) dan Levy selepas berakhirnya acara 110 meter berpagar lelaki akhir di Stadium Olimpik, Tokyo pada Khamis. - Foto AFP

Sementara itu, Holloway mengakui tekanan menyebabkan pelari berusia 23 tahun dari Chesapeake, Virginia tersebut gagal mempamerkan aksi terbaik seperti diharapkan sebelum ini.

“Semua tahu bahawa saya akan memberikan yang terbaik dalam aksi ini, tambahan pula ini merupakan peluang terbaik untuk saya mengakhiri saingan dengan keputusan positif.

“Namun kegugupan dan atmosfera persekitaran mengganggu fokus tumpuan saya dalam perlumbaan ini. Biarpun begitu, saya masih muda dan masih banyak lagi perlumbaan yang akan saya harungi. Saya akan ambil perkara ini sebagai satu pengalaman paling berharga dalam perjalanan karier.

Artikel Berkaitan:

“Sejujurnya, ini bukanlah sesuatu yang saya mahukan di Tokyo 2020, namun percaya saya masih merupakan pencabar pingat Olimpik kali ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!