Buat kawalan harga atau beri subsidi kit ujian kendiri
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan agar kerajaan membuat kawalan harga terhadap kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual di pasaran.
Presidennya, Adnan Mat berkata, jika tidak membuat kawalan harga, kerajaan perlu memberikan subsidi terhadap pembelian kit berkenaan.
Menurutnya, ia supaya orang ramai dapat menyebar luas penggunaannya yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pada masa yang sama kita minta masyarakat bersama-sama kita untuk mengawal secara kendiri dengan penggunaan alat-alat yang telah diperkenalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian edisi ke 278 bertajuk ‘Varian Delta: Ancaman Sistem Negara’ pada Khamis.
Wacana tersebut turut menampilkan Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip dan Penasihat (Penyelidik) Khazanah Research Institute, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram, manakala Edlynna Hanie Hamid bertindak sebagai moderator.
Dalam wacana itu, Adnan turut mencadangkan agar kerajaan memfokuskan kepada tiga buah negeri kritikal yang sering mencatatkan jumlah harian kes Covid-19 tertinggi iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“Sekiranya pergerakan manusia masih lagi tinggi memang agak sukar kita mengawal kes,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama turut menggesa agar majikan prihatin terhadap pekerja mereka seperti membenarkan bekerja dari rumah.
“Jika kakitangan begejala, mereka perlu mendapatkan rawatan dan pemeriksaan, bukannya datang ke pejabat.
“Sekiranya disiplin ini dapat dilakukan, sekurang-kurangnya kita boleh mengawal merebaknya penyakit Covid-19 ini,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN:'Imuniti kelompok bukan penyelesaian utama'
ARTIKEL BERKAITAN:Semua jenis vaksin perlu dos ketiga lawan varian Delta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!