Calon PSM, muda tapi berbisa

Nik Aziz Afiq Abdul - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Nik Aziz Afiq Abdul - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SEMENYIH - Sebagai calon paling muda dalam PRK DUN Semenyih, ada pihak memandang rendah keupayaan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) berusia 25 tahun, Nik Aziz Afiq Abdul.

Begitupun, sepanjang kempen berlangsung, calon muda itu menyerlahkan kredibilitinya malah kempen PSM dilihat lebih teratur.

Sinar Harian (SH) berkesempatan bertemu Nik Aziz dan bertanyakan lima soalan kepada beliau. Berikut adalah rangkuman sesi temubual bersama beliau.

SH: Kenapa anda masuk bertanding?

Nik Aziz: Saya masuk bertanding dalam PRK DUN Semenyih ini kerana nak tawarkan nafas politik yang baru, politik yang tidak memainkan isu perkauman, politik yang membawa isu lebih merakyatkan, politik yang membawa isi masalah dan solusi untuk masalah tersebut.

SH: Apa perkara pertama anda akan buat selepas menang PRK DUN Semenyih?

Nik Aziz: Hari mengundi pada 2 Mac, malam itu mungkin keputusab diumumkan. Perkara pertama kita akan buat keesokannya pada jam 7 pagi, kita akan buka Pusat Aduan Bergerak di Pasar Pagi Beranang. Kita nak tunjukkan pada hari pertama kita menang, kita nak bekerja kepada rakyat dan kumpulkan segala aduan daripada mereka.

SH: Apa ‘faktor X’ anda berbanding calon lain?

Artikel Berkaitan:

Nik Aziz: Saya lihat pertamanya saya berani isytihar harta, tak mainkan isu perkauman, ketiga saya ada manifesto dan keempat, saya ada kemampuan untuk berdebat. Walaupun perkara lain saya lemah seperti pendidikan, pengalaman, faktor usi dan sebagainya sampai orang fikir saya tidak setanding dengan calon lain tapi saya berani berdebat, bersuara untuk rakyat yang tidak diikuti calon lain.

SH: Kempen di media sosial atau turun padang dan berceramah. Mana lebih berkesan?

Nik Aziz: Bergantung pada golongan sasaran. Media sosial banyak digunakan untuk menarik golongan muda dan pertengahan tapi untuk golongan lebih berusia, mereka suka kita turun padang, bersua muka. Ceramah juga penting untuk menyampaikan mesej kehadiran kita kepada rakyat.

SH: Sebutkan tiga prinsip anda?

Nik Aziz: Pertamanya merendah diri. Saya rasa masyarakat kita merendah diri tapi kita lihat dal politik, perkara ini dah terhakis. Kita lihat ada masyarakat meninggi diri, ego, sombong dan tak boleh dengar cakap orang.

Keduanya untuk mengamalkan gaya hidup bersederhana. Ramai menyanjung Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat tapi tak ramai orang mahu mengikuti kesederhanaan beliau dalam kehidupan.

Ketiga, kesungguhan untuk melakukan sesuatu perkara. Apa-apa perkara dalam membela rakyat, penting kalau kita nak capai adalah berdasarkan kesungguhan kita untuk menunjukkan kita mampu berdepan situasi dan suasana yang memerlukan perhatian kita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!