'Tujuh kali jumpa bom, ini paling besar'
BERA - "Sudah tujuh kali jumpa bom, ini yang paling besar pernah saya temui," demikian kata Mohd Sayuti Zakaria, 53, dari Felda Triang 1, Bera yang menemui sebutir bom lama British dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua di rancangan terbabit pada petang Isnin lalu.
Menurutnya, bom terbabit yang paling besar dan berat pernah ditemuinya sepanjang bergelar peneroka di rancangan itu sejak tahun 1989.
"Saya sudah tujuh kali jumpa bom di kawasan ini dan memang terkejut ketika melihat bom itu sudah berair ketika ditemui.
"Ketika kejadian, saya bersama pemandu jentera, Fikri Mansur, 36, sedang meratakan tanah di belakang rumah saya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ujarnya, ketika sedang mengorek tanah sedalam satu meter, dia merasai satu benda keras.
"Bila dilihat, saya syak bom dan terus melaporkan kejadian pada jawatankuasa kampung dan laporan polis dibuat selepas itu," jelasnya.
Mengakui risau hingga tidak lena tidur beberapa hari dengan keselamatan mereka, Sayuti yakin operasi tersebut akan berjalan lancar.
ARTIKEL BERKAITAN: Bom Perang Dunia Kedua 226kg ditemui di Felda Triang
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bom seberat 226 kilogram dipercayai jenis UXO Arial sepanjang 0.9 meter itu ditemukan kira-kira jam 3.30 petang pada Isnin lalu.
Sementara itu, Ketua Peneroka, Mohd Jidi Yaakob memberitahu, setakat ini sudah 22 butir bom lama ditemui sejak 1992 lagi termasuk yang terbaru pada Isnin.
Menurutnya, bom seberat 226 kilogram itu paling besar dan berat pernah ditemui di daerah itu.
"Memang kawasan ini sering ditemui bom lama dan untuk kali ini juga buat julung kalinya pemindahan penduduk terpaksa dilakukan pada hari ini (Jumaat) untuk operasi memusnahkan bom.
"Sebanyak 123 buah keluarga membabitkan kira-kira 500 penduduk terbabit dalam operasi pengosongan rumah dan ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara(MRSM) Bera, masjid dan lain-lain lokasi," ujarnya lagi penduduk dibenarkan kembali ke rumah masing-masing selepas selesai operasi tersebut.
Jelasnya, pengosongan rumah bukan sahaja membabitkan kediaman peneroka malah ia melibatkan rumah pegawai, kakitangan ladang, kuarters guru dan klinik kesihatan.
"Kami berharap pihak polis akan melakukan pengesanan lokasi bom lama di sini selepas ini selain meminta penduduk berhati-hati dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa jika menemui bom lagi," tambahnya.
Dalam pada itu bagi peneroka, Mohamad Bakar, 59 menyifatkan penemuan bom itu mengejutkan mereka kerana paling besar dijumpai setakat ini.
"Memang banyak kali bom ditemui di sini tapi ini kali pertama kami dan tidak menyangka terpaksa mengosongkan rumah sementara waktu," katanya memasuki rancangan itu sejak tahun 1990.
Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/153827/BERITA/Semasa/Bom-Perang-Dunia-Kedua-226kg-ditemui-di-Felda-Triang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!