Inovasi tanaman rock melon hanya guna telefon bimbit

A
A
A

NILAI - Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkenalkan ciptaan Laman Prosumer Control System (LPCS) bagi tanaman rock melon di kampus itu dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Ciptaan inovasi untuk mengawal proses pembajaan, siraman dan meracun itu menggunakan konsep mengintegrasikan teknologi Internet of things (IoT)

Ketua Projek, Khairuz Zihani berkata, projek itu dikendalikan oleh sekumpulan pelajar tahun tiga Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik, dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina USIM.

"Mereka terdiri daripada Muhammad Khairuz Zihani Kelana, 22, Hairul Iskandar Hairul Nizam, 22, Nur Syuhada Amir, 22, dan Siti Sarah Nabila Nor Zawawi, 22.

"Inovasi yang kami cipta ini amat sesuai untuk digunakan di ladang pertanian berskala kecil yang menggunakan kaedah penanaman fertigasi dan projek ini digunakan bagi tanaman rock melon yang diusahakan oleh Jabatan Keselamatan di kampus ini, ” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Operasi fertigasi boleh dipantau melalui aplikasi e-Prosumer di telefon pintar.
Operasi fertigasi boleh dipantau melalui aplikasi e-Prosumer di telefon pintar.

Menurutnya, kebun rock melon itu menjadi perintis kepada penggunaan ciptaan LPCS yang mempunyai tiga fungsi utama iaitu 'Automatic Distribution System', 'Dosing System' dan 'Monitoring System'.

Ujarnya, sistem berkenaan dibangunkan berteraskan IoT yang membolehkan ia dikawal sepenuhnya oleh petani menggunakan telefon pintar atau tablet melalui sambungan secara modul wi-fi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu Hairul Iskandar berkata, tiga fungsi utama dalam LPCS ini dibangunkan setelah mengambil kira permasalahan yang kebiasaannya dihadapi oleh petani sistem fertigasi.

"Fungsi yang terdapat pada 'Automatic Distribution System' membolehkan kawalan pada kekerapan dan kuantiti siraman air, baja dan racun pada tanaman secara automatik melalui ‘arahan’ yang diterima dari kotak kawalan berdasarkan analisis data yang diterima dari alat pengesan (sensor) yang dipasang di sekitar tanaman.

"Melalui teknologi 'Dosing System' pula, ia akan memastikan nisbah campuran cecair baja yang tepat dapat diperoleh setelah mengambil kira bacaan kekonduksian elektrik di dalam tangki campuran, nilai pH, paras air, paras hujan, suhu air dan kelembapan tanah," katanya.

Hasil buah rock melon yang sudah dituai.
Hasil buah rock melon yang sudah dituai.

Tambahnya, 'Monitoring System' pula berfungsi untuk mengawal paras air di dalam tangki khas yang digunakan untuk sistem fertigasi sentiasa mencukupi.

Katanya, kesemua sistem tersebut dihubungkan ke ‘e-Prosumer Control System’ yang merupakan kotak kawalan utama kepada pengoperasian LPCS.

"Ciptaan ini jika diluaskan penggunaannya dalam tanaman fertigasi akan memberi nilai tambah tersendiri antaranya penjimatan kepada kos tenaga kerja dan pembajaan, penambahbaikan kualiti tanaman dan hasil yang dikeluarkan dan lebih menarik segala proses fertigasi dapat dipantau secara terus di hujung jari sahaja.

"Dengan kos keseluruhan sekitar RM600 bagi penanaman antara 100 ke 200 pokok, ciptaan ini mempunyai potensi menarik golongan muda menceburi bidang pertanian, membantu dalam mengembangkan bidang pertanian tepat (precision agriculture), meningkatkan jaminan 'food security' serta selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!