Rumah jadi simpanan rokok seludup

Sebanyak 297 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM12,839 berjaya dirampas hasil serbuan di sebuah rumah di Kampung Kuala Slim, Slim River pada Khamis. (gambar kecil: Sulizmie Affendy)
Sebanyak 297 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM12,839 berjaya dirampas hasil serbuan di sebuah rumah di Kampung Kuala Slim, Slim River pada Khamis. (gambar kecil: Sulizmie Affendy)
A
A
A

TANJUNG MALIM - Polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Kuala Slim, Slim River di sini selepas dikesan menjadi tempat simpanan rokok seludup sejak setahun lalu.

Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim sekitar jam 5.30 petang pada Khamis itu turut menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan terbabit.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, hasil pemeriksaan dalam rumah itu telah menjumpai 297 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM12,839.

"Siasatan awal dijalankan mendapati, suspek yang bekerja sebagai peniaga itu telah setahun terlibat menjual rokok seludup dan menjadikan rumah sebagai tempat simpanan stok.

"Kita akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui dari mana rokok seludup ini diperoleh serta cara dan laluan digunakan suspek untuk membawa masuk barangan terbabit ke daerah ini," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurutnya, suspek berusia 37 tahun itu direman tiga hari sehingga 8 Ogos ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan hasil semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod lampau.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!