'Berapa jumlah majoriti PN?'

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Pendirian 31 ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) yang kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) menimbulkan persoalan berhubung majoriti dimiliki kerajaan PN diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan sidang akhbar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat, ia memperlihatkan PN dan Muhyiddin hanya mempunyai majoriti sokongan seramai 103 ahli Parlimen.

"Jika ingin membentuk kerajaan, PN perlu mempunyai 112 kerusi iaitu dua pertiga daripada 222 ahli Parlimen.

"BN mempunyai 42 ahli Parlimen. Jika ditolak dengan 31 ahli Parlimen yang menyokong PN, bermakna ada 11 ahli yang tidak sokong mereka. Maka, PN hanya ada 103 kerusi.

"Muhyiddin juga masih berdolak-dalik dan ingin menentukan keabsahan sebagai Perdana Menteri di Parlimen pada September nanti," katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Benut di sini pada Jumaat.

Menerusi sidang akhbar Ismail Sabri pada Jumaat, seramai 31 ahli Parlimen daripada BN kekal menyokong kerajaan PN.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menjelaskan, pendirian itu seperti ketetapan pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini.

Pada Selasa, UMNO menarik sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin, sebaliknya berpendirian untuk mempertahankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!