Ahli sindiket Geng Epul BBS curi kenderaan diberkas

Zainal menunjukkan kenderaan curi yang berjaya ditemukan semula di Balai Polis Rawang pada Jumaat.
Zainal menunjukkan kenderaan curi yang berjaya ditemukan semula di Balai Polis Rawang pada Jumaat.
A
A
A

GOMBAK - Polis berjaya menyelesaikan 14 kes curi kenderaan dengan tertangkapnya seorang lelaki yang dipercayai ahli Geng Epul BBS dalam satu serbuan di Pekan Rawang di sini sekitar jam 9 pagi pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menemui 16 buah kenderaan curi dianggarkan bernilai RM60,000 yang merupakan jumlah terbesar di daerah Gombak bagi tahun ini.

"Antara yang ditemui adalah kereta Proton Iswara (tiga), motosikal jenis Honda Wave (lima), Honda EX-5 (tiga), Honda Solaris (satu), dan Honda Beat (satu).

"Turut ditemui, sebuah rangka motosikal jenis Honda C-70 serta jenis Nimota yang casis telah diganggu dan kesemua kenderaan ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita pada sidang media di Balai Polis Rawang pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, sepasukan polis dari Balai Rawang mengekori dua orang suspek yang berkelakuan mencurigakan.

"Setelah itu, salah seorang suspek cuba mengumpil sebuah motosikal di parkir kawasan lot kedai sebelum diserbu polis, bagaimanapun seorang daripada suspek berjaya melarikan diri.

"Suspek yang diberkas berusia 22 tahun dan mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala suspek yang melarikan diri, Mohd Pakhururuzi Mohd Nor@Ajis masih diburu,” katanya.

Pemilik motosikal yang diumpil tersebut katanya hanya membuat laporan pada jam 10 pagi, satu jam selepas suspek terbabit ditahan kerana tidak menyedari kenderaan miliknya terlibat dalam kejadian terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sindiket tersebut dipercayai aktif sejak awal tahun ini.

Menurut Zainal Mohamed modus operandi mereka adalah dengan menggunakan kunci induk sebelum menjadikan kenderaan di kawasan komersil atau rumah kedai sebagai sasaran.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat ramai lagi ahli Geng Epul BBS yang masih bergiat aktif dan memberi jaminan siasatan secara terperinci akan dijalankan oleh pihak polis untuk menumpaskan sindiket tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan suspek sindiket itu atau suspek yang diburu untuk tampil memberi maklumat kepada pihak polis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!