Noh nafi tandatangan sokong kerajaan pimpinan Muhyiddin

Noh pada sidang akhbar di Facebook beliau pada Jumaat.
Noh pada sidang akhbar di Facebook beliau pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menafikan beliau terlibat menandatangani sokongan untuk kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Noh menegaskan, tiada sebarang tandatangan sokongan dilakukan sebaliknya beliau hanya menurunkan tandatangan kerana hadir pada perjumpaan bersama ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada pagi Jumaat.

"Saya ingin menegaskan, tandatangan kehadiran saya yang tersebar di media sosial hanyalah tandatangan kehadiran mesyuarat semata-mata," katanya pada sidang akhbar secara maya di Facebook pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: 31 ahli Parlimen UMNO, BN terus sokong PN dan Muhyiddin

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, menerusi hasil perbincangan dalam mesyuarat itu, beliau bersetuju kerajaan yang ada ini masih sah sehingga Parlimen bersidang September depan.

Beliau memberitahu, Yang di-Pertuan Agong juga sudah bersetuju supaya pentadbiran kerajaan diteruskan sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan.

"Saya menjunjung perlembagaan dan titah Seri Paduka Baginda dan kita tunggu Parlimen bersidang sama ada menyokong atau tidak usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat," katanya.

Noh yang juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berkata, dalam perjumpaan itu juga beliau bersetuju dengan rakan-rakan ahli Parlimen lain yang meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan perjumpaan dan memberi penerangan kepada semua ahli Parlimen UMNO berhubung keputusan parti.

Artikel Berkaitan:

"Dalam Ahli MKT majoritinya bukan ahli Parlimen dan mereka ini ingin mendapatkan penjelasan yang diputuskan parti," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendiriannya jelas iaitu untuk terus akur dan bersama dengan keputusan parti.

"Saya sedar saya menjadi ahli Parlimen bukan kerana Noh Omar, tetapi kerana lambang BN dan jentera parti yang bekerja untuk saya. Tanpa UMNO siapalah saya," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan seramai 31 ahli Parlimen UMNO dan BN menyatakan sokongan dan kekal bersama kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ismail Sabri memberitahu, seramai 17 ahli Parlimen hadir menyatakan sokongan manakala tiga ahli Parlimen menandatangani pendirian berkenaan namun tidak hadir.

Selain itu, Ismail Sabri memaklumkan, 10 lagi ahli Parlimen yang tidak hadir tetapi bersetuju secara mulut kerana belum menandatangani pendirian berkenaan.

Nama Noh sebelum ini tersenarai antara tiga ahli Parlimen yang menandatangani pendirian berkenaan namun tidak hadir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!