Berlatih sejak usia 15 tahun, Tomala raih emas jalan kaki 50km
ATLET Poland, David Tomala menyifatkan kejayaannya memenangi pingat emas bagi acara jalan kaki 50 kilometer (km) pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 ibarat mimpi yang menjadi kenyataan.
Menurut atlet berusia 31 tahun itu, sejak mula berlatih bagi acara berkenaan ketika berusia 15 tahun, dia sudah mula berazam untuk bertanding di pentas Olimpik dan memenangi pingat emas bagi acara berkenaan.
“Pada mulanya saya bercadang menyertai acara jalan kaki 20km, tetapi saya mengubah fikiran pada saat akhir dan mahu menyertai bagi acara jalan kaki 50km.
“Sebelum ini saya telah menamatkan perlumbaan (jalan kaki) sejauh 50km di Dudince, (Slovakia) dan hari ini saya berjaya menamatkan perlumbaan sama, jarak yang sama di pentas Olimpik pula.
“Oleh itu, bagi saya hari ini adalah hari paling hebat buat saya dan memang sukar untuk mempercayainya apabila saya berjaya memenangi pingat emas Olimpik pula,” katanya.
Tomala mencatatkan masa 3 jam 50 minit 08 saat berbanding atlet Jerman, Jonathan Hilbert yang memenangi perak dengan merekodkan catatan masa, 3 jam 50 minit 44 saat manakala atlet Kanada, Evan Dunfee meraih gangsa dengan merekodkan 3 jam 50 59 saat.
Dalam pada itu, pemegang rekod Olimpik bagi acara berkenaan, Jared Tallent dari Australia yang juga pemenang pingat emas bagi acara berkenaan pada temasya Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 tidak menyertai acara berkenaan kali ini berikutan mengalami kecederaan.
Malah, difahamkan Tallent yang berusia 36 tahun ketika ini turut mengumumkan persaraannya baru-baru ini setelah gagal pulih daripada kecederaan berkenaan.
Sementara itu, Dunfee menegaskan, dia berpuas hati memenangi gangsa pada perlumbaan kali ini setelah gagal melakukannya pada Olimpik Rio 2016 lalu.
“Saya cukup berpuas hati kerana berjaya menamatkan perlumbaan dan memenangi gangsa kali ini.
“Biarpun agak keletihan dan mengalami kesakitan di pangkal paha ketika berlumba, saya sering berkata kepada diri sendiri bahawa saya perlu memenanginya kali ini dan akhirnya saya berjaya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!