30 pesawah resah air tiada
PASIR PUTEH - Seramai 30 pesawah di Bendang Wakaf Raja dan Bukit Yong di sini, berdepan risiko kerugian besar apabila lebih 46 hektar padi yang diusahakan kekurangan bekalan air.
Wakil pesawah, Mat Taib Mat Hussin, 56, berkata, kawasan bendang itu tidak menerima bekalan air sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, ketiadaan air menyebabkan padi diserang penyakit dan mereka sukar mengawalnya kerana kerja meracun memerlukan air.
“Kalau ikut jadual, sebulan lagi dah boleh tuai tapi semua akan rosak jika masalah air tidak diatasi segera.
“Air mencukupi di empangan Sungai Yong tapi pam tak boleh berfungsi untuk menyalirkan air ke bendang,” katanya.
Mat Taib berkata, agensi berkaitan sudah dimaklumkan mengenai masalah itu, namun masih belum ada tindakan.
Sementara itu, Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-Semerak, Nik Hamadi Nik Abdullah berkata, pihaknya telah mengarahkan pintu air bendang Gong Kulim yang tidak lagi memerlukan air ditutup.
Katanya, penutupan itu akan menaikkan paras air untuk dipam ke Bendang Wakaf Raja, Bukit Yong dan sekitarnya.
“Kita terpaksa menghentikan operasi membekalkan air kerana paras air rendah akibat kemarau sehingga menyebabkan air tidak boleh disedut jentera pengepam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!