Pekida Kelantan mahu pemimpin berhenti berpolitik
KOTA BHARU - Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Kelantan mahu semua pemimpin memberi fokus sepenuhnya untuk menangani penularan Covid-19 dan melupakan seketika pergolakan politik yang sedang melanda negara kini.
Setiausahanya, Mudzahar Makhtar berkata, tindakan pemimpin politik yang masing-masing seolah-olah berebut kuasa minggu ini sebenarnya memberi contoh yang tidak baik kepada masyarakat.
“Cukuplah dulu berpolitik, duduk dan bincang bagaimana kita mahu selesaikan masalah penularan Covid-19 ini. Jangan hanya fikir rebut kuasa dan kerusi sahaja.
“Rakyat sedang melihat dan menilai apa yang berlaku. Jangan terlalu taksub dengan keperluan dunia sehingga kita lupa tanggungjawab sebenar yang digalas untuk bantu masyarakat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Menurutnya, pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes Covid-19 dalam negara kini dan salah satunya ialah kelonggaran prosedur operasi standard (SOP).
Justeru, beliau berkata, perkara itu (kelonggaran SOP) yang seharusnya difikirkan, dibincang dan dijadikan ‘usul’ jika mereka benar-benar mahu tunjuk kehebatan masing-masing
“Rakyat semakin muak dengan perangai pemimpin dan melihat apa yang berlaku. Jangan gunakan nama mereka (rakyat) untuk dapatkan apa yang dihajati.
“Sedangkan mereka (rakyat) berdepan masalah yang lebih besar dan perlu diselesaikan. Jangan biarkan masalah ekonomi berterusan, cari jalan penyelesaian. Jika benar SOP longgar, bincang langkah perketatkan dan sebagainya.
“Itu sahaja yang rakyat mahu ketika ini. Bukan pergaduhan, himpunan di jalanan mahupun pertelingkahan di Parlimen dan sebagainya. Jangan rugikan masa dan ruang yang rakyat berikan kerana ia akan memberi kesan untuk masa depan nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!