Sektor pelancongan rugi RM45 bilion
KUANTAN - Kerugian semasa yang dialami sektor industri pelancongan negara sejak Mac tahun lalu dianggarkan mencecah RM45 bilion susulan pandemik Covid-19.
Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Amerika/Eropah/Oceania), Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abdul Ghapar berkata, punca kerugian itu disebabkan penutupan sempadan negeri dan negara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan kerajaan.
Menurutnya, kerugian itu meliputi kehilangan pekerjaan dan pembatalan tempahan produk pelancongan seperti hotel serta pakej-pakej pelancongan di seluruh negara.
"Industri pelancongan adalah antara sektor yang terkesan dan setakat ini industri itu (pelancongan) sudah mengalami kerugian RM45 bilion dari segi nilai ekonomi (pendapatan).
"Jadi, sebab itu, kita perlu sentiasa bersedia untuk menerima semula pelancong-pelancong apabila keadaan semakin pulih dengan merancakkan kembali sektor ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Taklimat Gelembung Pelancongan dan Cadangan Pembangunan Escape Cameron Highlands di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands pada Khamis.
Ammar menjelaskan, walaupun berdepan kerugian berganda, namun pihaknya sedaya upaya menghidupkan semula sektor ini dengan mengadakan pelbagai promosi.
Jelasnya, promosi tempat menarik turut diuar-uarkan kepada negara luar sebagai langkah untuk mengekal nama Malaysia, sekali gus memilih negara ini sebagai lokasi pelancongan yang wajar dikunjungi.
"Buat masa ini kita sudah merancang usaha pemulihan sektor pelancongan dengan mengadakan program Travel Bubble. Kita yakin program ini mampu menjadi penggerak industri kelas negara mencapai Fasa Tiga pemulihan Covid-19.
"Jadi, semua pemain industri dalam negara sentiasa bersiap sedia apabila pintu negara dibuka kelak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!