Jawatankuasa Pemulihan WP ditubuh, bincang strategi pasca PKP

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Wilayah Persekutuan, bagi membincangkan strategi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas Wilayah Persekutuan mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok, bulan ini.

“Kita harap mulai September ini, kita akan dapat satu hala tuju bagaimana kita dapat ‘rejuvenate’ untuk membangun dan merancakkan semula semua aktiviti di Wilayah Persekutuan.

“Pada waktu ini, tahap imunisasi berkelompok di Labuan telah mencapai 80 peratus, Putrajaya lebih 60 peratus manakala Kuala Lumpur pula telah menghampiri 70 peratus. Itu bermakna dalam masa dua minggu dari sekarang, kita akan capai 80 peratus bagi ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dan kita bersedia untuk membuka semua kegiatan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan surat tawaran menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), kepada pemain dram Caliph Buskers Fendy Adlun, di sini pada Jumaat.

Annuar berkata, kementerian juga sedang membuat persiapan termasuk memberi cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian, untuk penduduk Wilayah Persekutuan dan akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Yang penting saya nak tengok Wilayah Persekutuan sebagai pusat kegiatan ekonomi, sosial dan kebudayaan, akan kembali ceria semula mulai bulan kemerdekaan ini dan seterusnya.

“Kalau itu dapat berlaku, aktiviti seperti ‘busking’ dapat dilakukan secara normal dan individu yang telah lengkap vaksin dua dos, boleh menjalankan aktiviti ekonomi masing-masing,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!