UMNO Ketereh sokong tindakan 31 Ahli Parlimen BN
KOTA BHARU - UMNO Bahagian Ketereh memberi sokongan penuh tindakan 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang kekal menyokong Perikatan Nasional (PN).
UMNO bahagian itu dalam satu kenyataan pada Jumaat menyatakan, tindakan 31 ahli Parlimen tersebut untuk kekal menyokong PN adalah satu tindakan yang tepat.
"UMNO Bahagian Ketereh merangkumi ketiga-tiga sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri yakin keputusan di ambil merupakan pilihan terbaik bagi memastikan usaha kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 serta permasalahan ekonomi dapat terus diberikan keutamaan.
"UMNO Bahagian Ketereh percaya keputusan kolektif yang dilakukan telah mengambil kira banyak faktor termasuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya usul membahas Ordinan-Ordinan Darurat dibawa dalam sidang Parlimen bulan depan," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih absah sehingga persidangan parlimen yang akan menentukan sama ada PN mempunyai sokongan atau tidak.
Kenyataan berkenaan juga menyebut, bagi pihaknya, peletakan jawatan adalah satu bentuk penderhakaan yang jelas terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika ini kerana membelakangi titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu jemaah menteri dan jentera pentadbiran terus berfungsi untuk melaksanakan amanah serta tanggungjawab kepada rakyat khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.
"Menarik diri daripada kerajaan di saat genting ini bermakna mensabotaj titah Seri Paduka dan dianggap sebagai menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Pada masa sama, UMNO Bahagian Ketereh mahu semua pihak berhenti bermain politik dan memberi tumpuan kepada isu utama iaitu berdepan Covid-19. Tindakan pihak yang sengaja mencetuskan ketidakstabilan politik dianggap sebagai mementingkan diri selain mengganggu kelancaran menangani pandemik serta memulihkan ekonomi," kata kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!