UMNO Perak gesa ahli Parlimen akur ketetapan parti

Mohd Zolkafly
Mohd Zolkafly
A
A
A

IPOH - UMNO Perak menggesa ahli Parlimen dari negeri itu yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kembali akur kepada ketetapan parti.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, sebagai anggota parti, mereka perlu menghormati pendirian yang dibuat, apatah lagi ketetapan itu dipersetujui pucuk pimpinan di peringkat negeri dan Pusat.

"Sepatutnya MP (ahli Parlimen) Perak yang ada akur dengan ketetapan parti sebelum ini.

"Sekiranya terdapat apa-apa perkara yang tidak kena, sebaiknya perlu kerap berbincang (dengan kepimpinan) sebelum membuat apa-apa ketetapan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mohd Zolkafly yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput berkata, pendirian yang dinyatakan barisan 31 ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Jumaat itu jelas bertentangan arahan parti.

Pihaknya bagaimanapun berharap masih ada titik penyelesaian terbaik yang dapat diputuskan berhubung perkara itu.

"Apa yang saya boleh katakan, macam mana pun ahli Parlimen BN perlu ikut ketetapan parti. Jika dia daripada UMNO, ikutlah apa yang ditetapkan sebelum ini kerana apa pun keputusan kita masih tertakluk parti," katanya.

Pada Jumaat, seramai 31 ahli Parlimen UMNO dan BN menyatakan sokongan dan kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO ketika mengumumkan pendirian itu juga menyokong supaya keabsahan kerajaan PN dan kepimpinan Perdana Menteri ditentukan ketika persidangan Parlimen pada September depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!