Polis nafi tidak ambil tindakan kesalahan jenayah anak ahli politik

PDRM
PDRM
A
A
A

SEREMBAN - Polis menafikan dakwaan seorang individu yang memuat naik hantaran di Facebook bahawa tiada tindakan diambil terhadap anak lelaki kepada ahli politik di Port Dickson yang disyaki terbabit dalam kesalahan jenayah kira-kira lapan tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dakwaan individu tersebut adalah merujuk kepada satu laporan polis oleh seorang lelaki berusia 31 tahun yang mendakwa dirinya disamun oleh sekumpulan lelaki di sebuah pondok, Pantai Seaview Port Dickson pada 13 April 2013.

Beliau berkata, susulan laporan itu pihak polis telah bertindak menahan tujuh lelaki berumur lingkungan 18 hingga 21 tahun yang seorang daripadanya adalah anak kepada ahli politik.

“Pihak polis telah merujuk kertas siasatan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan dan tiada keterangan yang cukup untuk dibuat pertuduhan terhadap tangkapan tersebut. Jadi, polis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tiada tindakan diambil terhadap laporan itu,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Aidi Sham berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang penyebaran berita tidak benar atau sebarang hantaran di media sosial yang boleh mengelirukan awam.

Katanya, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Pemilik akaun Facebook memuat naik hantaran bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajib bertindak, susulan wujud laporan polis ke atas anak kepada ahli politik itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!