Ulang tahun ke-76 pengeboman Hiroshima
Jepun pada Jumaat memperingati ulang tahun ke-76 serangan bom atom pertama di Hiroshima yang diadakan secara sederhana dan disiarkan secara langsung di tengah-tengah ancaman pandemik Covid-19 yang masih tinggi.
Kira-kira 800 hadirin termasuk delegasi dari 90 negara dan wakil mangsa terselamat serangan bom digelar ‘hibakusha’ yang hadir turut mengenakan pakaian berwarna hitam.
Majlis itu dimulakan dengan acara bertafakur pada jam 8.15 pagi (waktu tempatan) iaitu tempoh masa yang sama ketika bom atom pertama digugurkan di bandar tersebut.
Pengeboman dilancarkan Amerika Syarikat (AS) pada 6 Ogos 1945 itu meragut sekurang-kurangnya 140,000 nyawa dan memusnahkan seluruh bandar tersebut.
Kira-kira tiga hari kemudian, AS menggugurkan bom atom kedua di Nagasaki dan mengorbankan sehingga 70,000 penduduk yang menyebabkan Jepun menyerah kalah, sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua dan pendudukan selama setengah abad di Asia.
Datuk Bandar Hiroshima, Kazumi Matsui menerusi ucapannya menggesa pemimpin dunia melaksanakan pelucutan senjata nuklear secara serius ketika komuniti antarabangsa kini sedang berusaha memerangi Covid-19 yang disifatkan sebagai ancaman terhadap kemanusiaan.
“Senjata nuklear yang dihasilkan untuk menang peperangan adalah ancaman paling utama kepada masyarakat dunia. Pengalaman lalu telah mengajar kita bahawa mengancam pihak lain atas alasan sebagai langkah pertahanan diri tidak memberi sebarang manfaat.
“Saya berharap pemimpin dunia dapat berkunjung ke Hiroshima dan Nagasaki untuk mendapat pemahaman lebih mendalam tentang impak pengeboman itu,” ujarnya lagi.
Pada Januari lalu, Perjanjian Kawalan Senjata Nuklear (NPT) berkuat kuasa selepas beberapa tahun ‘hibakusha’ memperjuangkan usaha sivil tersebut.
Perjanjian yang melarang penghasilan dan penggunaan senjata nuklear itu gagal mendapat sokongan AS termasuk Jepun serta negara kuasa nuklear lain walaupun diratifikasi 50 negara termasuk Malaysia.
Matsui sekali lagi mengulangi gesaan agar kerajaan segera menandatangani dan meratifikasi perjanjian nuklear tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri, Yoshihide Suga yang turut menyertai acara tersebut tidak menyebut tentang perjanjian tersebut dan hanya menekankan tentang keperluan menggunakan pendekatan lebih realistik untuk menjadi jambatan kepada negara kuasa nuklear dan negara bukan kuasa nuklear bagi mengukuhkan NPT.
Perjuangan ‘hibakusha’
Kebanyakan mangsa terselamat pengeboman itu mengalami penyakit dan kecederaan kekal akibat terdedah dengan radiasi malah golongan tersebut juga berdepan diskriminasi masyarakat setempat.
Kerajaan mula memberi bantuan sokongan perubatan kepada mangsa yang disahkan pada 1968 selepas tuntutan itu diperjuangkan selama lebih dua dekad.
Pada bulan lalu, Suga mengumumkan manfaat perubatan itu akan diberikan kepada 84 mangsa yang terdedah kepada ‘hujan hitam’ radiasi dan tidak mendapat bantuan kerana berada di luar zon ditetapkan kerajaan.
Penduduk tempatan, Yoko Sado, 43, yang hadir di kawasan Tugu Peringatan Keamanan bersama anaknya berkata, pandemik Covid-19 telah menghalang Hiroshima untuk menyebarkan mesej keamanan.
“Jika bukan kerana wabak ini, sudah tentu ramai orang dapat berkunjung ke tugu peringatan ini dan melihat pameran yang disediakan.
“Saya agak kecewa kerana ia adalah peluang yang baik untuk memberi pendedahan kepada seluruh masyarakat tentang impak serangan bom atom tersebut,” jelasnya.
Rata-rata ‘hibakusha’ berumur hampir 84 tahun dan ia turut menjadi cabaran kepada golongan itu untuk berkongsi pengalaman mereka berdepan detik pengeboman tersebut kepada generasi muda. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!