Taliban 'tunai janji' sasar pegawai kanan kerajaan
Insiden itu berlaku beberapa hari selepas kumpulan militan tersebut memberi amaran akan menyasarkan pegawai kanan kerajaan sebagai serangan balas terhadap peningkatan operasi yang dilancarkan sebagai usaha menyekat kemaraan mereka.
"Tindakan pengecut Taliban telah meragut nyawa Dawa Khan Menapal," ujar jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mirwais Stanikzai.
Menapal yang maut ditembak kumpulan lelaki bersenjata di Darul Aman Road merupakan individu yang dikenali dalam kalangan komuniti media di Kabul dan dengan lantang berani mengutuk Taliban di media sosial.
Sementara itu, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengesahkan mereka bertanggungjawab atas serangan itu dan mangsa 'dihukum' atas perbuatannya.
Lewat Selasa lalu, Menteri Pertahanan, Bismillah Mohammadi bersama keluarganya terselamat cubaan bunuh dalam siri letupan dan kejadian berbalas tembakan yang menyasarkan kediamannya di Kabul.
Sejak beberapa minggu lalu, pertempuran semakin sengit antara pasukan keselamatan dan Taliban yang semakin mara untuk menawan beberapa bandar di negara tersebut susulan pengunduran pakatan tentera asing. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!