TFC dituntut kekal momentum

Pemain Terengganu FC giat menjalani latihan menjelang aksi berdepan Sri Pahang pada Sabtu. - Foto Terengganu FC
Pemain Terengganu FC giat menjalani latihan menjelang aksi berdepan Sri Pahang pada Sabtu. - Foto Terengganu FC
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) diharap dapat memberikan aksi terbaik apabila melayan kunjungan Seri Pahang FC bagi aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu.

Pengurus TFC, Zulfadli Rozi berkata, biarpun tidak mendapat rehat secukupnya berikutan jadual liga yang padat, namun pemain skuad Penyu diharap berada dalam keadaan cukup bersedia bagi berdepan skuad Tok Gajah itu.

“Kita faham, minggu ini kita ada tiga perlawanan dalam tempoh seminggu. Pemain-pemain keletihan, tetapi saya harap itu tidak dijadikan alasan untuk tidak beraksi pada tahap terbaik berdepan Pahang.

“Kita tahu Pahang memiliki sedikit kelebihan kerana mereka mendapat lebih masa rehat berbanding kita kerana game terakhir mereka adalah pada 1 Ogos lalu.

“Apapun, kita mengharapkan pemain dapat memberikan aksi terbaik dalam usaha memastikan kejayaan menjadi milik Terengganu FC,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Untuk rekod, Terengganu FC yang mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Rabu kini berada pada kedudukan kedua liga dengan 34 mata hasil 10 kemenangan, empat seri dan tewas tiga kali daripada 17 perlawanan.

Sementara itu, Zulfadli turut mengharapkan pemain-pemain skuad Penyu dapat mengekalkan momentum kemenangan berdepan Seri Pahang FC sebagaimana ketika menewaskan PJ City sebelum ini.

Malah menurut Zulfadli Rozi, pemain-pemain juga diharap dapat meneruskan aksi konsisten masing-masing dalam usaha memastikan kejayaan pada perlawanan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!