PDRM FC dijangka terlepas khidmat Kaimbi

Lazarus Kaimbi
Lazarus Kaimbi
A
A
A

KETUA jurulatih PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail perlu melakukan sedikit rombakan susulan kecederaan yang dialami kapten pasukan, Lazarus Kaimbi sekali gus terpaksa diketepikan sekali lagi dalam aksi Liga Premier berdepan Terengganu FC II pada Ahad ini.

Kaimbi mengalami kecederaan patah tulang di bahagian kaki kanan dan terlepas perlawanan menentang Skuad Projek FAM-MSN pada Ahad lalu.

Rohaimi bagaimanapun menjangkakan pemain berusia 33 tahun ini terpaksa melupakan sekurang-kurangnya tiga perlawanan lagi sehingga dia pulih sepenuhnya untuk kembali beraksi.

Bukan itu sahaja, beliau juga tidak boleh menggunakan khidmat pertahanan, Amir Saiful Badeli yang telah digantung perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning setakat ini sekali gus mengakui aksi menentang Terengganu FC II ini akan lebih sukar untuk mereka.

“Kita tahu Terengganu FC II masih belum tewas lagi setakat ini, dan saya selalu ingatkan kepada pemain jangan letakkan diri dalam keadaan selesa walaupun sebelum ini kita pernah menang tiga kali berturut-turut.

“Sekarang ini pun kita turun tanpa kekuatan yang sebenar apabila Lazarus masih cedera, Amir juga digantung perlawanan, jadi memang akan ada perubahan pemain nanti.

“Saya ada bertanyakan keadaan Lazarus, dan dia kata bahagian kaki kanan masih lagi terasa sakit dan ada sedikit patah, jadi saya rasa kita kena bersedia untuk kehilangannya bagi tiga aksi akan datang.

“Yang penting, kita kena pastikan kita tidak tercicir mata lagi sebab kedudukan pasukan juga belum selamat apatah lagi kita juga ingin kejar slot ke Piala Malaysia,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!