Rhinos buru keputusan positif di laman Harimau Selatan
SABAH FC berazam mencatatkan keputusan positif apabila berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Ahad, biarpun bakal beraksi tanpa kelibat pertahanan import, Park Tae-Soo dan penyerang Croatia, Josip Ivancic yang belum pulih kecederaan.
Justeru, Ketua Jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto mengharapkan pemain-pemain The Rhinos yang bakal diturunkan mampu memberikan aksi terbaik dalam usaha memastikan hasrat meraih keputusan positif pada berjaya direalisasikan.
“Kita tahu, JDT kelab yang kuat dan perlawanan ini agak berat untuk kita. Kita juga tidak dapat turunkan Park Tae-Soo dan Josip Ivancic.
“Biarpun begitu kita akan turunkan pemain yang sesuai untuk beraksi dalam tempoh 90 minit pada perlawanan itu nanti,” katanya.
Sabah sebelum ini terus berdepan kemarau kemenangan apabila pada aksi terakhir sekadar melakar keputusan seri 1-1 ketika melayan kunjungan KL City FC di Stadium Likas pada Rabu.
Keputusan itu menyaksikan skuad The Rhinos kini berada pada kedudukan ketujuh liga dengan 19 mata hasil empat kemenangan, tujuh seri dan tewas enam kali selepas mengharungi 17 perlawanan.
Sementara itu, Kurniawan mengingatkan pemain Sabah supaya tidak mengulangi lagi kesilapan yang seringkali dilakukan pada perlawanan terdahulu bagi mengelakkan The Rhinos terus keciciran mata penting.
Menurut Kurniawan, pemain Sabah juga harus kekal fokus sehingga ke wisel penamat dalam usaha meraih mata yang diharap-harapkan.
“Sebelum kita sering kehilangan mata kerana kesilapan yang kita lakukan dan akibatkan, kita juga harus membayar kesilapan kita itu dengan keputusan yang kita tidak ingini (seri atau tewas).
“Apa pun, kita tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini, tetapi kita memang banyak kehilangan mata, kerana kesilapan kita sendiri.
“Oleh itu, kita harapkan pemain lebih fokus bagi tempoh 90 minit permainan bagi mengelakkan kesilapan-kesilapan sedemikian berulang lagi pada perlawanan akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!