Phoenix beri tumpuan satu ke satu perlawanan

Pemain-pemain PJ City giat menjalani latihan sebagai persediaan mengharungi baki saingan liga. - Foto FB PJ City FC
Pemain-pemain PJ City giat menjalani latihan sebagai persediaan mengharungi baki saingan liga. - Foto FB PJ City FC
A
A
A

PENGENDALI PJ City FC, P Maniam, tidak mahu memberikan tekanan kepada pemain-pemain The Phoenix untuk cuba mencari kemenangan dalam beberapa perlawanan akan datang bagi mengekalkan status mereka di Liga Super pada musim depan.

Biarpun sedar hanya lima mata memisahkan mereka dari zon penyingkiran, Maniam hanya mahu berikan tumpuan dari satu ke satu perlawanan selain berasakan pemainnya sedar tugas mereka buat pasukan.

Beliau mengharapkan pertembungan dengan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur akan menjadi detik terbaik kebangkitan semula The Phoenix selepas mereka sekadar meraih satu sahaja kemenangan daripada lima aksi terakhir di Liga Super.

“Saya tidak mahu menekan pemain-pemain dalam soal ini dan tidak mahu cakap apa-apa sebaliknya mahu berikan tumpuan dengan perlawanan berdepan Kuala Lumpur terlebih dahulu.

“Dalam tiap perlawanan, saya tidak mahu beritahu pemain yang mereka kena menang dalam perlawanan ini kerana semua dalam kalangan mereka tahu tanggungjawab mereka.

“Apa yang saya mahu mereka berikan yang terbaik, bekerja keras lebih 200 peratus dan kita tunggu apa keputusan selepas perlawanan setelah mereka apa yang mereka mampu.

“Saya sentiasa berikan motivasi kepada pemain selain turut dibantu oleh pihak pengurusan yang sentiasa peka dengan keperluan pemain,” katanya.

Lima perlawanan terakhir PJ City juga menyaksikan mereka sekadar menjaringkan satu gol sahaja melalui Sunil Chandran yang menjadi kepada jaringan kemenangan semasa menewaskan Sabah FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 24 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Buat masa ini, The Phoenix yang masih mempunyai kelebihan satu perlawanan berada di tangga kelapan melalui pungutan 18 mata namun beberapa pasukan lain seperti Sri Pahang FC, Melaka United FC kian merapati kedudukan mereka manakala Perak FC di tangga kedua terakhir dengan 13 mata.

Tugas berat bakal menanti P Maniam dalam memperagakan barisan terbaik berdepan KL City ekoran krisis kecederaan pemain setelah tumpas 0-3 kepada Terengganu FC pada Rabu lalu di laman sendiri.

Antaranya dua pemain pertahanan, M Tamilmaran serta S Subramaniam selain ketua pasukan, K Gurusamy dan Syahmi Zamri manakala Darren Lok masih belum boleh diturunkan.

“Kami sebenarnya seolah-olah bermain dengan 10 pemain semasa kalah dengan Terengganu semasa di babak kedua apabila pertukaran lima pemain terpaksa dilakukan lebih awal dan S Subramaniam telah bengkak di bahagian buku lali.

“Syahmi yang masuk selaku pemain gantian di awal babak kedua hanya sempat beraksi beberapa minit sebelum dikeluarkan, begitu juga K Gurusamy yang sekali lagi tidak dapat membantu pasukan.

“Ketiadaan Tamilmaran di bahagian pertahanan mungkin akan membuatkan saya letakkan Ahmad Sukri Ab Hamid atau Jeremy Lim selain M Youwarasan yang boleh menjadi pengganti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!