Malaysia Prihatin kekal tema Hari Kebangsaan
SHAH ALAM – Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 masih mengekalkan tema Malaysia Prihatin seiring dengan iltizam dan aspirasi berterusan kerajaan Perikatan Nasional dalam menyemai rasa cinta semua rakyat kepada negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain menyemai rasa cinta rakyat kepada negara, tema tersebut juga menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat yang masih memerangi pandemik Covid-19.
“Saya sedar bahawa kita masih berada dalam tempoh yang agak mencabar susulan wabak Covid-19 namun saya yakin rakyat Malaysia mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi.
“Kita telah dilahirkan di tanah air ini dan menjadi sebahagian warganegara yang bersumpah setia untuk mempertahankannya sehingga akhir hayat kita.
“Semangat juang tinggi pemimpin dan nenek moyang kita dalam menuntut kemerdekaan negara dengan penuh ranjau dan berliku perlu dijadikan iktibar serta memberi inspirasi kepada kita semua,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat masih lagi berperang dengan musuh yang sukar dilihat dan lebih berbahaya, semoga rakyat kekal cekal serta dikurniakan kekuatan dalam usaha menamatkan wabak Covid-19.
Menurutnya, Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia sekali gus mencetuskan solidariti dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang.
“Saya berharap kita dapat bersama-sama menterjemahkan bentuk solidariti itu dengan mengibar megah Jalur Gemilang sebagai tanda kita sentiasa bersatu-padu dalam melawan pandemik Covid-19.
“Saya yakin setelah 64 tahun negara menikmati kebebasan dan kemerdekaan, amalan mengibar Jalur Gemilang sentiasa dibudayakan dalam kehidupan seharian tanpa rasa malu dan janggal.
“Saya berharap seluruh rakyat Malaysia, daripada penjawat awam di kementerian dan agensi, warga sektor swasta dan sesiapa juga akan menyahut seruan kerajaan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh penuh rasa bangga, tertib dan rasa hormat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut berharap agar rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman ataupun kenderaan dan bersama-sama melakukannya demi menzahirkan rasa cinta terhadap negara.
"Semangat cintakan negara yang sentiasa diperteguhkan akan mengekalkan kehidupan yang harmoni, saling mengasihi dan bersatu hati dalam kalangan rakyat meskipun berlainan kaum, agama dan latar belakang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!