Dakwaan Muhyiddin punyai majoriti tidak benar: Pemuda UMNO

Noor Hariri (kiri) dan Tengku Haphiz menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Muhyiddin pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
Noor Hariri (kiri) dan Tengku Haphiz menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Muhyiddin pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perutusannya bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat adalah tidak benar.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor mendakwa, ini kerana bilangan terkini kerusi kerajaan hanya tinggal 98.

“UMNO telah menyenaraikan sekurang-kurangnya 11 orang ahli Parlimen hadir pada sidang akhbar Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos 2021 yang menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

“Kalau ditambah peletakan jawatan dua menteri kabinet iaitu Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, jelas kerajaan PN telah jatuh dengan bilangan kerusi kerajaan sekarang hanya tinggal 98 kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Wakil Pemuda UMNO sebelum itu telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi terhadap Muhyiddin yang didakwa mengelirukan dan menipu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mengulas lanjut, Noor Hariri menambah, Muhyiddin tidak lagi mempunyai legitimasi untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dan harus meletakkan jawatan segera.

“Saya mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat Muhyiddin,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: