Buat laporan polis dakwa pengguna FB hina pemimpin UMNO

Alias Sahak @ Ishak (tengah) ditemani beberapa wakil daripada Pemuda UMNO Bahagian Kemaman selepas membuat laporan polis di Balai Polis Chukai pada Jumaat
Alias Sahak @ Ishak (tengah) ditemani beberapa wakil daripada Pemuda UMNO Bahagian Kemaman selepas membuat laporan polis di Balai Polis Chukai pada Jumaat
A
A
A

KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Beberapa individu di Kemaman membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Facebook kerana didakwa menghina pucuk pimpinan UMNO.

Laporan polis berkenaan dibuat di Balai Polis Chukai, di sini, pada Jumaat.

Pengguna Facebook tersebut didakwa memuat naik kata-kata hantaran dengan gambar tiga ekor anjing yang disunting pada bahagian muka pucuk pimpinan tertinggi UMNO yang dianggap sebagai tindakan melampau.

Salah seorang pengadu, Alias Sahak @ Ishak, 36, berkata, hantaran di media sosial itu memberi gambaran tidak baik terhadap pemimpin UMNO.

"Hantaran yang dibuat ini memberi gambaran fitnah, mengaibkan serta menjatuhkan maruah pemimpin tersebut," katanya yang juga Pengerusi Skuad Sabil Pemuda UMNO Bahagian Kemaman ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Bagaimanapun, semakan Sinar Harian jam 10 malam pada Jumaat di laman Facebook tersebut mendapati hantaran tersebut tiada atau mungkin sudah dipadamkan.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima beberapa laporan berkaitan perkara itu yang dibuat di Balai Polis daerah Chukai, di sini, pada Jumaat.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!