PN Negeri Sembilan yakin Muhyiddin mampu selesai masalah pandemik
KUALA PILAH- Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan yakin kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat menyelesaikan masalah berkaitan pandemik Covid-19 ini sedikit masa lagi.
Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, kepimpinan Muhyiddin dilihat tidak putus-putus berusaha menyelesaikan pelbagai masalah sepanjang tempoh pandemik ini.
"Kita sentiasa diuji supaya tidak berasa leka dan mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan, justeru, apa juga cabaran yang ada, kerajaan tetap berusaha dan yakin ia akan berhasil dalam sedikit masa lagi.
"Dalam situasi sekarang, kita memerlukan kerjasama semua pihak supaya keadaan politik menjadi lebih stabil kerana itu adalah yang terbaik yang kita ada buat masa ini," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bakul makanan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di Masjid Senaling, di sini pada Sabtu.
Eddin Syazlee yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, keadaan negara ketika ini tidak mengizinkan berlakunya sebarang pertukaran kerajaan seperti yang didesak banyak pihak.
"Saya bimbang jika bertukar kerajaan, keadaan akan lebih teruk daripada apa yang berlaku ketika ini, ini merupakan pengalaman yang pertama kali seumpamanya, ia juga tidak pernah dilalui oleh mana-mana Perdana Menteri," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Eddin Syazlee berkata, penubuhan PN sejak dari awal tidak bermaksud ia perlu dan mesti melibatkan kerjasama dengan UMNO.
Beliau turut menegaskan, PN mempunyai matlamat dan cara perjuangannya yang sendiri dan mungkin tidak sama dengan UMNO.
"Tidak kira siapa, mana-mana parti yang berminat untuk bekerjasama silakan, ini negara bebas, tidak perlu terikat dengan sesiapa.
"Apa yang penting dalam politik, tiada yang lebih dominan daripada yang lain, semua sama, barulah kita boleh memastikan sistem ekonomi dan sebagainya dapat dinikmati secara saksama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!