Skuad terjun gagal cipta hatrick raih pingat di temasya Olimpik

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong ketika jalani sesi latihan pada temasha Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo 26 Julai lalu. - Foto Bernama
Ratu terjun negara, Pandelela Rinong ketika jalani sesi latihan pada temasha Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo 26 Julai lalu. - Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS dua edisi temasya Sukan Olimpik membawa khabar gembira kepada Malaysia, kegagalan skuad terjun negara membawa pulang pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian.

Membariskan ratu terjun negara Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee, pencapaian skuad terjun negara pada temasya Olimpik kali ini adalah sesuatu yang mengecewakan ketika sasaran pingat diletakkan ke atas barisan penerjun kebangsaan itu.

Pandelela yang tampil dengan reputasi besar setelah memenangi dua pingat di pentas Olimpik selain meraih pingat emas pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA pada Mei lepas, gagal menyerlah dalam kedua-dua acara disertainya pada temasya Olimpik Tokyo ini.

Dalam saingan final 10 meter platform wanita individu di Pusat Akuatik Tokyo dua hari lepas, Pandelela mempamerkan aksi ‘longlai’ sekali gus menamatkan saingan acara 10 meter platform wanita individu di kedudukan terakhir daripada 12 peserta.

Begitu juga ketika Pandelela bergandingan dengan Leong Mun Yee dalam acara 10 meter platform seirama wanita sebelum itu, apabila kedua-dua penerjun negara sekadar menamatkan acara berkenaan di tempat kelapan dan terakhir.

Juara dunia 2017, Cheong Jun Hoong, yang disenaraikan pada saat akhir menyertai Sukan Olimpik Tokyo juga gagal membuat kejutan apabila terkandas di pusingan awal 10 meter platform wanita individu selepas hanya menduduki tempat ke-26 daripada 30 peserta.

Pencapaian Ng Yan Yee juga kurang memuaskan apabila gagal layak ke saingan final acara 3 meter papan anjal wanita individu setelah menduduki tempat ke-20 dalam pusingan kelayakan.

Namun, pujian harus diberikan kepada Nur Dhabitah yang menamatkan saingan akhir 3 meter papan anjal wanita individu di kedudukan keempat.

Artikel Berkaitan:

Penerjun berusia 22 tahun itu, menampilkan aksi konsisten pada setiap terjunan lima pusingan acara tersebut, namun pungutan mata diperolehnya tidak mencukupi untuk menaiki podium.

Mengulas pencapaian skuad terjun negara, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, walaupun kem terjun negara memperoleh keputusan baik dalam acara 3 meter papan anjal, Malaysia gagal mencapai sasaran dalam acara 10 meter platform individu dan seirama.

“Acara terjun sememangnya menjadi prospek untuk menyumbangkan pingat, namun kita tidak mencapai sasaran.

“Walaupun kita ada keputusan yang baik (dalam acara terjun) sepertimana dicapai Nur Dhabitah, acara 10 meter platform seirama dan individu, kita gagal mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya dalam klip video yang dikongsikan kepada media daripada pejabat Menteri Belia dan Sukan.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, beliau juga berkesempatan berbual dengan Pandelela serta Jun Hoong, dan masing-masing melahirkan kekecewaan atas pencapaian tersebut dan memohon maaf kerana tidak dapat mencapai sasaran ditetapkan itu.

“Apa pun sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya saksikan sendiri kesungguhan mereka melakukan sebaik mungkin, dan mereka diukur dari sudut kesungguhan mereka untuk membawa cabaran negara di Tokyo.

“Berjaya atau tidak bergantung kepada aksi mereka pada hari tersebut (hari pertandingan),” katanya.

Pandelela muncul atlet wanita pertama Malaysia memenangi pingat di Sukan Olimpik selepas meraih pingat gangsa acara 10 meter platform wanita pada edisi 2012 di London.

Pada edisi Rio 2016, Pandelela yang bergandingan dengan Jun Hoong meraih pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!