Perhatian tertumpu kepada duta khas ASEAN ke Myanmar

Menteri Luar II Brunei, Erywan Mohd Yusof - Foto Bernama
Menteri Luar II Brunei, Erywan Mohd Yusof - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Tiga bulan selepas ASEAN sepakat mengenai Konsensus Lima Perkara, blok itu pada Rabu mengumumkan pelantikan duta khas untuk mempermudah proses dialog di Myanmar.

Pelantikan itu menjadi satu titik perubahan dalam usaha ASEAN membantu mengembalikan keamanan dan demokrasi di Myanmar.

Dalam pernyataan bersama dikeluarkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-54 baru-baru ini, Menteri Luar II Brunei, Erywan Mohd Yusof dilantik sebagai duta itu dan sudah tentu kini semua perhatian tertumpu kepada beliau.

Menteri itu akan memulakan tugas di Myanmar, termasuk membina keyakinan dan kepercayaan dengan mendapat kebenaran bertemu semua pihak berkaitan selain menyediakan jadual pelaksanaan konsensus berkenaan.

Konsensus lima perkara itu yang pertama, menghentikan serta-merta keganasan di Myanmar dan semua pihak mengambil langkah untuk bertenang; kedua, dialog konstruktif antara semua pihak yang berkenaan akan dimulakan untuk mencari jalan penyelesaian damai demi kepentingan rakyat; ketiga, duta khas Pengerusi ASEAN akan memudahkan perantaraan proses dialog dengan bantuan Ketua Setiausaha ASEAN; keempat, ASEAN akan memberikan bantuan kemanusiaan melalui Pusat AHA; dan kelima, duta khas dan delegasi akan melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkenaan.

Sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari yang menggulingkan kerajaan diterajui Aung San Suu Kyi, Myanmar telah dicengkam krisis politik dan kesihatan awam yang semakin meruncing, diburukkan lagi dengan peningkatan kes Covid-19.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat dan China meminta ASEAN menghentikan keganasan di Myanmar yang setakat ini telah meragut hampir 900 nyawa.

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengalu-alukan pelantikan itu berkata, duta khas itu mesti diberikan kebebasan bertemu semua pihak di negara itu dalam usaha membantu menangani keadaan semasa di Myanmar.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan memberi ingatan agar tidak meletakkan harapan terlalu tinggi manakala kementerian luar Indonesia berharap Erywan dapat melaporkan perkembangan terkini menjelang September.

Majlis Penasihat Khas Myanmar (SAC-M) berkata duta khas itu mesti menamatkan keganasan junta tentera dan berhubung dengan wakil rakyat bermula dengan Kerajaan Perpaduan (NUG), kerajaan bayangan di Myanmar.

Dalam satu kenyataan, Chris Sidoti dari SAC-M berkata tidak perlu membazirkan masa dan duta khas perlu segera mewujudkan gencatan senjata dan tentera berundur ke markas.

“Pelaksanaan konsensus lima perkara amat perlu disegerakan,” katanya.

Namun, Tatmadaw (kerajaan tentera) telah memberikan bayangan tidak akan menerima sebarang kerjasama dengan duta Khas ASEAN dan NUG, kata Menteri Luarnya Wunna Maung Lwin ketika Mesyuarat Menteri ASEAN-Kesatuan Eropah (EU).

Katanya, apa-apa jua sokongan diberikan EU atau mana-mana negara terhadap konsensus itu tidak akan membantu duta khas mahupun Myanmar.

"Myanmar tidak akan menyokong penglibatan dengan CPRH dan NUG sejak Jawatankuasa Pusat Anti-Keganasan pada Mei tahun ini mengisytiharkan mereka sebagai kumpulan pengganas,” katanya

Sementara itu, ratusan kumpulan sivil Myanmar pada Jumaat menolak pelantikan duta khas ASEAN, dan menurut mereka blok serantau itu seharusnya terlebih dahulu berunding dengan pelbagai pihak termasuk yang membantah pemerintahan junta.

Sekarang, masanya untuk Erywan bekerja menyelesaikan krisis dengan membawa semua pihak terlibat ke meja rundingan dan membuktikan kepada dunia bahawa ASEAN mampu menangani krisis di Myanmar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!