JKNPP tambah katil, keperluan pesakit Covid-19 di 3 hospital
GEORGETOWN - Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah menambah kapasiti katil dan kemudahan lain termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU) tiga hospital di negeri itu bagi menampung keperluan pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu dicapai semasa mesyuarat dengan JKNPP pada Khamis lepas berhubung peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di Pulau Pinang.
“Setakat ini jumlah katil dan keperluan untuk merawat pesakit Covid-19 masih mencukupi, namun JKNPP telah mengambil tindakan segera dengan menambah katil serta ruang di tiga hospital ekoran peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Katanya, pada masa ini, Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Bukit Mertajam (HBM) dijadikan hospital hybrid bagi rawatan Covid-19 dan pengubahsuaian dilakukan bagi menambah jumlah wad bagi merawat pesakit Covid-19.
"Hospital Kepala Batas (HKB) pula telah diubah suai sepenuhnya menjadi pusat rawatan serta pengurusan pesakit Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas sempena Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang Tahun 2021 peringkat negeri Pulau Pinang yang diadakan secara hybrid, di Komtar di sini, pada Sabtu.
Pulau Pinang merekodkan kes Covid-19 sebanyak 959 kes hari ini (Sabtu) iaitu meningkat berbanding jumlah kes semalam sebanyak 776 kes manakala sebanyak 1,022 kes dicatatkan dua hari lepas.
Sebelum ini, Kon Yeow memaklumkan penggunaan katil Covid-19 di wad unit rawatan rapi (ICU) di Pulau Pinang hampir mencapai 100 peratus susulan peningkatan kes dicatatkan di negeri ini.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, JKNPP akan memantau keadaan semasa berhubung jumlah kes Covid-19 dalam tempoh seminggu bermula Khamis lepas bagi memastikan kelancaran dalam pengurusan menangani penularan virus berkenaan di negeri itu.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri melalui kempen Penang Lawan Covid-19 akan memastikan langkah sistematik dan agresif diteruskan selaras dengan hasrat Pulau Pinang mencapai 100 peratus suntikan dos pertama bagi populasi dewasa menjelang awal September ini.
"Usaha ini sekali gus dapat mencapai imuniti kelompok lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!