Dulu aktif, kini terlantar sakit...
SUNGAI PETANI – Hanya kerana demam panas, seorang kanak-kanak, Ammar Irfan Zakria, 6, yang dahulunya ceria dan aktif kini terlantar akibat radang otak.
Ibunya, Izrinda Roslin, 33, dari Bandar Utama berkata, sejak itu, Irfan yang petah berkata-kata hilang fungsi pergerakan tangan dan kaki, tidak mampu membuka mata serta bercakap apatah lagi mengunyah makanan.
Menurutnya, akibat lemah anggota badan, anak tunggal itu terpaksa dibantu olehnya dan suami, Zakria Awang, 38 menyebabkan kehidupan mereka berubah secara tiba-tiba.
“Kami ada sambut hari jadi dia yang jatuh pada 31 Disember lalu sambut awal sehari, dia seronok sangat. Itulah kali terakhir kami lihat dia gembira dan ketawa sebelum jatuh sakit.
“Malam tu dia demam panas dan esok pagi terus kena sawan. Sebelum hantar ke hospital, kami dah bawa ke klinik dan bagi ubat, namun demamnya tak kebah-kebah,” katanya.
Menurut Izrinda, akibat serangan itu, tangan kanannya mengerekot, tangan kiri dan kaki kanan tidak boleh bergerak, mulut serta mata tertutup.
Bagaimanapun, sejak beberapa hari lalu, Irfan dikatakan sudah mula belajar untuk mengunyah dan berusaha untuk bangun dan duduk, tetapi masih tidak berjaya.
Sehingga kini, dia masih diberikan minum susu melalui tiub di hidung.
Irfan pada mulanya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani sebelum kesnya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
Disebabkan sering berulang-alik ke hospital, pekerjaan Zakria sebagai pembantu bengkel yang menerima gaji harian tergendala menyebabkan punca pendapatan mereka hilang.
Izrinda pula yang pernah bekerja kilang sebelum ini terpaksa berhenti akibat masalah tekanan darah tinggi sebelum Irfan jatuh sakit.
Menurutnya, wang simpanan habis dibelanjakan buat perubatan anak kesayangan mereka sejak dua bulan lalu menyebabkan mereka buntu sementara menunggu proses permohonan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang baharu sahaja dihantar.
Sementara itu, keluarga berkenaan mendapat perhatian Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang diwakili isterinya, Datin Noraini Mohd hadir menziarahi dan menyampaikan sumbangan serta akan berusaha mendapatkan keperluan kerusi roda buat Irfan.
Pengurus Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Sungai Petani, Zariny Zainol berkata, sumbangan disampaikan termasuk keperluan susu, lampin pakai buang dan wang tunai.
Orang ramai yang bersimpati boleh membantu keluarga itu dengan menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat bernombor 223851015117 atas nama Izrinda Roslin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!