Tukang masak didakwa sebabkan kematian warga emas
IPOH - Seorang tukang masak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki yang terlibat dalam satu pergaduhan di Jalan Theatre, awal Februari lalu.
Liew Wai Keong, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Goh Guan Cheong, 63, dengan melalukan perbuatan gopoh atau cuai yang tidak terjumlah kepada kesalahan mematikan orang dengan salah.
Kesalahan itu dilakukan di tangga sehingga kaki lima bangunan Qiong Hai Assosiation Jalan Theatre, Pekan Bharu Ipoh antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari, 2 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala tertuduh diwakili Peguam Datin K Shamini.
Terdahulu, Shamini dalam rayuannya memohon agar wang jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan sebanyak RM10,000 dikurangkan memandangkan tertuduh merupakan anak lelaki tunggal dan menyara ibunya yang juga ibu tunggal berusia 71 tahun dengan hanya pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.
Tertuduh juga sebelum ini telah memberi kerjasama baik dengan polis dan memberi aku janji untuk hadir ke mahkamah.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mac ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat mangsa.
Sebelum ini media melaporkan, Guan Cheong meninggal dunia selepas 14 hari koma akibat kecederaan parah selepas ditetak seorang lelaki yang mahu menyelamatkan ibunya daripada dicekik.
Dalam kejadian pergaduhan antara jiran yang menyewa bilik di premis itu, seorang lelaki warga emas, Chai Ah Kin, 83, turut maut dengan kesan luka di bahagian dada akibat ditikam dengan senjata dipercayai sudu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!