'Tiang patah, bukan sengaja pasang Jalur Gemilang terbalik'
SUBANG JAYA - Polis mengesahkan sebuah video tular memaparkan Jalur Gemilang yang didakwa dikibarkan terbalik adalah disebabkan tiang bendera tersebut telah patah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Amihizam Abdul Shukor berkata, video berkenaan dimuat naik oleh seorang individu pada Jumaat lalu.
Menurut beliau, polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian yang terletak di Vista Millenium, Taman Puchong Perdana kira-kira jam 10.40 malam.
"Pemeriksaan mendapati tiang bendera tersebut telah patah akibat ditiup angin dan menyebabkan Jalur Gemilang menghala ke bawah," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Amihizam berkata, ketua pengawal keselamatan di perumahan itu telah menurunkan Jalur Gemilang tersebut serta-merta sebelum digantikan dengan tiang yang baharu.
"Satu laporan polis telah dibuat mengenai kejadian berkenaan dan ciapan yang dibuat di media sosial itu telah dipadam sejurus selepas tindakan diambil," katanya.
Pada Jumaat, tular video di media sosial memaparkan Jalur Gemilang yang didakwa terbalik.
Video tersebut menerima kecaman netizen yang rata-ratanya meminta tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab di atas kejadian tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!