Perpaduan ASEAN dapat atasi cabaran pandemik Covid-19: Hishammuddin
PUTRAJAYA - Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perpaduan ASEAN telah membolehkannya mengatasi cabaran secara kolektif meliputi krisis kewangan global kepada perubahan iklim, bencana alam dan kini, pandemik Covid-19.
Dalam perutusannya sempena sambutan ulang tahun ASEAN ke-54, Hishammuddin berkata, kesan Covid-19 terhadap nyawa dan kehidupan masyarakat sangat dahsyat, menyaksikan kapasiti sektor penjagaan kesihatan yang semakin terbeban sehingga kehilangan pendapatan.
“ASEAN tidak akan mengalah dan kekal teguh memerangi pandemik Covid-19 bergandingan dengan seluruh dunia untuk menunjukkan bahawa manusia akan mengatasi cabaran besar ini bersama-sama dan bangkit lebih kuat,” katanya.
Hishammuddin berkata, kemunculan varian baharu Covid-19 dan prospek penyakit itu akan menjadi endemik, memerlukan kerajaan di seluruh dunia memikirkan semula strategi mereka.
“Memandangkan tiada negara atau rantau yang mempunyai keupayaan dan pendekatan yang sama dalam menangani pandemik ini, kaedah cookie-cutter mungkin tidak berfungsi. Sehubungan itu, usaha yang akan diambil mestilah dinamik dan fleksibel, menepati keperluan dan kriteria setempat,” katanya.
Sejak awal tahun 2020, Hishammuddin berkata, ASEAN telah mengambil pendekatan proaktif melalui siri penglibatan dan pertukaran maklumat antara negara anggota dan rakan luar, bertujuan untuk meningkatkan keupayaan serantau dalam pencegahan, pengesanan, tindak balas dan kesediaan menangani pandemik itu.
Beliau berkata, ASEAN telah melaksanakan beberapa strategi dan kerangka kerja untuk menghadapi peningkatan Covid-19, sambil mengurangkan kesannya terhadap ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat.
Semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai Covid-19 pada April 2020, para pemimpin ASEAN sebulat suara bersetuju tentang keperluan kritikal ASEAN memberi tumpuan kepada menangani ramifikasi ekonomi dan sosial pandemik itu, sambil berusaha ke arah pelan pemulihan pasca pandemik bagi ASEAN.
Pada sidang kemuncak itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencadangkan agar ASEAN merangka pelan pemulihan ekonomi serantau untuk menyelaraskan tindak balas serantau, tambahnya.
Seterusnya, Hishammuddin berkata, Kerangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF), yang berfungsi sebagai panduan hala tuju strategik dan fokus untuk pemulihan dan sokongan pandemik di ASEAN telah diterima pakai semasa Sidang
Beliau berkata, melalui ACRF, beberapa strategi yang luas telah dirangka termasuk meningkatkan sistem kesihatan serantau, mengukuhkan keselamatan manusia, memaksimumkan potensi pasaran intra-ASEAN dan memperluas integrasi ekonomi serta mempercepatkan transformasi digital inklusif.
Semua strategi itu dilaksanakan dalam kerangka kerja ASEAN yang ada dengan sokongan semua rakan luarnya, kata beliau.
Bagi mempercepatkan pemulihan berikutan pandemik itu, Hishammuddin berkata ASEAN telah memulakan usaha menangani kekurangan kit ujian, peralatan perlindungan diri dan vaksin melalui Dana Tindak Balas Covid-19 ASEAN.
Dana itu, yang berfungsi sebagai kumpulan sumber kewangan, akan membantu semua negara anggota ASEAN dalam pengesanan, kawalan dan pencegahan penularan Covid-19 serta memastikan keselamatan pekerja perubatan dan petugas barisan hadapan, katanya.
Hishammuddin berkata, Kerangka Kerja Perjalanan Koridor Asean (ATCAF) yang objektifnya adalah untuk memulihkan dan menghidupkan semula aktiviti ekonomi, telah digubal untuk memudahkan pergerakan pelancong perniagaan penting dalam ASEAN, sambil mematuhi secara ketat protokol kesihatan.
Hishammuddin berkata, kesan pandemik itu terhadap kesihatan mental tidak lagi boleh diabaikan dan ia merupakan satu lagi aspek yang dipandang serius oleh ASEAN.
Mengakui pentingnya kesihatan mental, Hishammuddin berkata, ASEAN dan rakan luarnya telah memulakan beberapa inisiatif untuk berkongsi pengalaman, bertukar maklumat mengenai amalan terbaik, serta merangka dasar untuk menangani isu itu.
ASEAN berganding bahu dengan orang ramai, pakar dan organisasi masyarakat sivil dalam mencari penyelesaian terbaik untuk mengatasi isu kesihatan mental, katanya.
Menyedari vaksinasi adalah alat paling berdaya maju untuk memenangi pandemik itu, Hishammuddin berkata ASEAN terus menggesa pengagihan vaksin yang adil dan saksama kepada semua negara, satu usaha yang telah berulang kali dilakukan dalam semua penglibatan ASEAN.
Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN adalah kumpulan serantau yang terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!