Pura-pura tanya motosikal rosak sebelum samun guna parang

KAMARUL ZAMAN MAMAT
KAMARUL ZAMAN MAMAT
A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Berpura-pura bertanyakan tentang motosikal yang rosak sebelum mengacukan parang kepada mangsa merupakan modus operandi yang dilakukan sekumpulan penyamun di Gurun, Kedah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian 27 Julai lalu, seorang lelaki berusia 28 tahun menjadi mangsa samun berdekatan simpang menuju ke Harvard, Gurun kira-kira jam 11 malam.

"Suspek menahan mangsa dan berpura-pura bertanya adakah sebuah motosikal yang rosak diletakkan di situ adalah milik mangsa.

"Secara tiba-tiba salah seorang dari suspek terus mengambil sebilah parang dari raga motosikal dan diacukan ke leher mangsa lalu minta serahkan semua barang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, akibat kejadian, mangsa mengalami kerugian lebih kurang RM1,100 berserta beg galas yang mengandungi dokumen peribadi.

Beliau berkata, hasil risikan yang dijalankan Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, lima lelaki berjaya ditahan pada Jumaat.

"Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 25 tahun itu telah ditahan di sekitar Gurun, Kedah.

"Siasatan awal mendapati kelima-lima suspek terlibat dalam kejadian tersebut. Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua tangkapan direman selama lima hari mulai Sabtu hingga Rabu depan.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dengan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!