Sedia tempat kuarantin khas untuk kanak-kanak

Perkongsian pengguna Facebook, Karya Kayra pada Sabtu.
Perkongsian pengguna Facebook, Karya Kayra pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disarankan agar menyediakan tempat kuarantin khas yang selesa dan selamat untuk kanak-kanak positif Covid-19 dan ibu bapa mereka yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook, Karya Kayra, usaha itu perlu dilakukan supaya kanak-kanak terbabit dapat dijaga dengan baik dari segi rawatan, sokongan emosi dan sebagainya, kerana bilangan pesakit Covid-19 yang kritikal terdiri daripada ibu bapa muda semakin meningkat.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga dicadangkan supaya mendapatkan data terkini kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa di Malaysia.

"Pasca Covid-19 bakal melukakan hati ramai pihak kerana sudah pasti bilangan anak-anak yatim di sekolah-sekolah meningkat secara mendadak.

"Andainya kita mahu memberi sumbangan, berilah sumbangan kepada anak-anak yatim kerana setiap sen yang kita belanjakan jika disampaikan kepada insan yang berhak dan menjadi sedekah yang berpanjangan buat kita di akhirat nanti," tulisnya pada Sabtu.

Kisah seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang menjalani kuarantin kendiri secara bersendirian di rumahnya selepas keputusan ujian calitan kali kedua mengesahkan dia positif Covid-19 ternyata mengundang kesayuan warganet.

Karya Kayra berkata, berita berkenaan sangat melukakan hatinya.

Katanya, tindakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Kluang, Johor (Petak), Zalifah Ithnin, yang datang memberi sumbangan makanan kepada Arshad selepas mengetahui kisah kanak-kanak itu wajar mendapat pujian.

Artikel Berkaitan:

"Bapa Arshad berusia 38 tahun baru sahaja meninggal dunia kerana Covid-19. Tiga adiknya dibawa ke rumah saudara mereka kerana negatif Covid-19, manakala ibu Arshad dan adik bongsunya ditahan di Hospital Permai di Tampoi, Johor Bahru berikutan tahap oksigen yang sangat rendah.

"Apa yang sangat menyedihkan kita, Arshad memaklumkan kepada Zalifah, bahawa dia gagal menghubungi ibunya yang berada di ICU sejak Sabtu (semalam) kerana ibunya tidak lagi menjawab panggilan telefon dan Arshad nampak sedih serta keliru berikutan baru sahaja kehilangan bapa.

''Keep strong Arshad. Hugs dari jauh. Sesungguhnya ALLAH SWT memberikan ujian hebat ini kerana ALLAH SWT sayang kepada Arshad sekeluarga."

Dalam perkongsian sama, Karya Kayra turut meminta seluruh rakyat di negara ini mendoakan kesembuhan segera buat Arshad, ibu dan adiknya serta semua pesakit Covid-19 yang berada di ICU.

Pada Sabtu, Zalifah berkongsi ujian yang ditanggung oleh anak sulung daripada lima beradik itu dan baru saja kehilangan bapa akibat Covid-19.

Diifahamkan, ujian saringan Covid-19 pertama kanak-kanak berkenaan adalah negatif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!