Bomba bantu lelaki 200kg sesak nafas ke hospital
KUALA TERENGGANU- Seramai 10 anggota bomba membantu membawa turun seorang lelaki obes yang mengalami masalah kesihatan dari kediamannya di tingkat 14, Flat Hiliran, di sini, pada Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada isteri lelaki tersebut jam 7.05 pagi dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.
Menurut Rozizah, wanita tersebut memaklumkan suaminya berusia 34 tahun yang mempunyai berat badan 200 kilogram (kg) mengalami sesak nafas.
"Sebaik tiba di kediaman pasangan berkenaan, dia didapati berada dalam keadaan terbaring di atas katil di ruang tamu rumah sebelum diberi bantuan pernafasan menerusi tangki oksigen mudah alih kepadanya.
“Operasi membantu membawa turun mengambil masa hampir 30 minit dan dia kemudiannya diserahkan kepada ambulans yang menunggu di aras bawah untuk di bawa ke Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), di sini bagi mendapatkan rawatan susulan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Tambah Rozizah, anggota terlibat terpaksa memapah mangsa untuk dibawa turun menggunakan lif selain saiz fizikalnya apatah lagi pesakit pada itu dalam keadaan sangat lemah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!