'Pingat perak hadiah istimewa buat bapa'
DUNGUN - Keluarga Datuk Mohd Azizulhasni Awang menganggap kejayaan diraih pelumba basikal negara itu dalam acara keirin pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada Ahad sebagai hadiah istimewa buat bapanya.
Abang iparnya, Mohd Razman Mohamad, 36, berkata, kejayaan dirangkul Azizulhasni atau lebih mesra dipanggil Jijoe kali ini adalah hadiah bermakna buat Awang@Muda Embong, 72, yang kini terlantar akibat penyakit strok.
Menurutnya, biarpun sedikit kecewa kerana Azizulhasni tidak berjaya membawa pulang pingat emas dalam Sukan Olimpik kali ini, ia menjadi pemangkin semangat untuk terus melakar kejayaan.
"Kami bersyukur kerana Jijoe dapat mara ke final dalam acara keirin hari ini. Alhamdulillah dia dapat membawa pulang pingat perak untuk negara.
"Walaupun sedikit kecewa kerana tidak dapat bawa pulang emas, kami tetap bangga dengan kejayaan Jijoe kerana ia adalah pencapaian terbaik selepas meraih gangsa di Sukan Olimpik Rio pada 2016," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Nibong Stesen di sini pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Azizulhasni hadiahkan pingat perak buat negara
Syabas 'The Pocket Rocketman'- PM
Bercerita mengenai penyakit strok dialami bapa Mohd Azizulhasni, Mohd Razman, berkata, keadaan bapa mentuanya itu bertambah teruk tahun ini.
"Sebelum ini, dia masih boleh bangun dan berjalan walaupun ingatannya ketika itu lemah dan tidak dapat mengingati serta mengenali orang lain.
"Tahun ini tahap kesihatannya merudum dan dia kini terlantar di atas katil," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Razman berkata, bapanya itu turut melihat aksi Azizulhasni melalui telefon kerana tidak dapat bangun untuk menyaksikan perlawanan menerusi kaca televisyen.
"Kami berikan telefon kepadanya untuk menonton secara langsung perlumbaan basikal sebentar tadi. Alhamdulillah dia dapat lihat aksi Jijoe sepanjang perlumbaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!