'Saya bangga dengan anak Terengganu ini' - Reezal Merican
KEJAYAAN jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang merangkul pingat perak acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 cukup bererti dan bermakna buat seluruh rakyat Malaysia, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Reezal Merican berkata, biarpun Mohd Azizulhasni tidak berjaya memenuhi impian peribadinya untuk menghadiahkan emas pertama negara, namun pelumba yang diberi jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu sentiasa menunjukkan semangat juang tinggi dalam usaha mencipta sejarah.
Reezal Merican mengakui semangat, iltizam dan kemahuan pelumba berusia 33 tahun itu bagi meraih kejayaan membanggakan di bumi Tokyo telah dibuktikan dalam perlumbaan akhir yang berlangsung di Velodrom Izu, pagi tadi.
“Azizulhasni dari awal lagi telah menjanjikan kita sesuatu dan beliau antara sebab saya mengemukakan sasaran (pingat). Saya bangga sangat dengan anak Terengganu ini, kerana semangat yang ditunjukkan amat luar biasa.
“Memenangi pingat perak satu hal, tetapi berada di velodrom ini menyaksikan semangat beliau yang mendapat tepukan seluruh penonton, tidak ada apa lagi yang boleh saya gambarkan rasa bangga ini melainkan rasa syukur kepada Allah SWT,” katanya ketika ditemui media Malaysia di Velodrom Izu di sini, hari ini.
Dalam saingan peringkat akhir yang penuh dramatik, penyandang juara Jason Kenny dari Britain mempamerkan kayuhan luar biasa sejak di peringkat awal lagi untuk terus menguasai perlumbaan sehingga ke akhir bagi mengekalkan kejuaraannya.
Mohd Azizulhasni, 33, melintasi garis penamat untuk pingat perak, sekali gus meleburkan harapannya memenangi pingat emas Olimpik pertama bagi Malaysia, manakala pelumba Belanda Harrie Lavreysen yang merangkul pingat emas dalam acara pecut lelaki, meraih pingat gangsa.
“Sebagai wakil rakyat Malaysia, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kerana khabar gembira dibawa anak Terengganu ini sebenarnya menceriakan seluruh rakyat Malaysia,” tambah Reezal Merican.
Kejayaan membawa pulang pingat perak menyaksikan Mohd Azizulhasni yang juga juara dunia keirin 2017 memperbaiki pencapaian pingat gangsa yang diraih pada acara sama di Rio 2016. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!