'Dakwaan tawaran wang, kedudukan propaganda burukkan kerajaan'
IPOH - Perikatan Nasional (PN) Perak menyifatkan dakwaan tawaran wang dan kedudukan dalam kabinet sebagai pertukaran menyokong kepimpinan Perdana Menteri seperti yang dinyatakan segelintir ahli Parlimen adalah satu propaganda untuk memburukkan lagi keadaan pentadbiran kerajaan.
Naib Pengerusi 1 PN Perak, Razman Zakaria berkata, dalam situasi semasa, adalah tidak mustahil wujud segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mengada-adakan sentimen politik sebegitu.
"Kemungkinan (cuba burukkan keadaan) itu ada sebab sekarang ini macam-macam perkara boleh berlaku. Kita tengok daripada kenyataan-kenyataan pemimpin sebelum ini pun kita dah boleh tahu, hari ini lain esok lain.
"Sebab itu saya katakan tohmahan ini satu propaganda yang dibangkitkan untuk memburukkan lagi keadaan. Kita minta kepada mereka tak perlulah burukkan lagi keadaan, elok jaga kerajaan yang ada ini untuk sama-sama tangani Covid-19," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan bantuan prihatin daripada Econsave kepada penduduk di Flat Panorama Lapangan Perdana dekat sini pada Ahad.
Pesuruhjaya Pas Perak itu berkata, tidak dapat dijangka sejauh mana kebenaran dakwaan berhubung tawaran bagi menyokong kerajaan PN itu dan sebaiknya serah kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
"Sekarang ini pun dah ada yang buat laporan polis, sebaiknya biar pihak berkuasa jalankan siasatan.
"Jika benar dakwaan itu, maka boleh diambil tindakan, kita tidak pilih siapa kerana ini kerajaan yang kita mahukan," katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 200 kotak makanan berupa barangan keperluan asas diagihkan kepada penduduk yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19 ini.
Razman yang juga Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak berkata, kerajaan negeri menyambut baik penglibatan badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk yang prihatin dalam menjaga kebajikan golongan memerlukan.
Katanya, kerjasama seumpama itu amat dituntut memandangkan tempoh pandemik yang panjang dan menjamin bantuan khususnya makanan secara berterusan.
"Keperluan bantuan ini tak semua orang sama, ada yang duduk suami isteri jika dapat satu kotak sudah cukup bekalan makanan, tetapi tidak bagi keluarga yang ada anak lima atau enam orang.
"Mereka ini lagi terkesan dan jika hanya dapat bekalan satu kotak sahaja mungkin dalam dua hari sudah habis.
"Jadi kita minta mereka yang terkesan berhubunglah dengan ketua-ketua pusat komuniti dan wakil penduduk untuk dapatkan bantuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!