'Terima kasih kerana menyatukan kita...'
KETUA Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Lee Chong Wei mengucapkan tahniah dan bangga dengan pencapaian pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang apabila berjaya menghadiahkan pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 kepada rakyat Malaysia.
Malah menurut Chong Wei yang menganggap The Pocket Rocketman berusia 33 tahun tersebut sebagai adiknya menyifatkan pelumba kelahiran Kuala Dungun, Terengganu berkenaan sudah mempamerkan aksi terbaik walaupun hasrat menghadiahkan pingat emas pertama negara tidak kesampaian.
“Congrats my brother, Datuk Azizulhasni Awang! Berdebar satu Malaysia menyaksikan pecutanmu. Bersorak satu Malaysia apabila mu menerjah untuk mendapatkan perak.
“Berbangga satu Malaysia melihat bendera dikibarkan. Terima kasih kerana menyatukan kita. Gangsa dan perak u (awak) dah ada. I (saya) yakin emas dalam genggaman di Paris 2024 nanti,” kata bekas jaguh badminton perseorangan lelaki negara tersebut di laman Facebooknya pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Azizulhasni hadiahkan pingat perak buat negara
'Saya minta maaf sangat-sangat' - Azizulhasni
'Saya bangga dengan anak Terengganu ini' - Reezal Merican
Untuk rekod kejayaan meraih pingat perak di Tokyo 2020 merupakan penampilan terbaik Azizulhasni dalam acara keirin selepas tewas kepada pelumba Great Britain, Jason Kenny setelah menghadiahkan negara pingat gangsa dalam acara sama pada edisi Rio 2016 sebelum ini.
Dalam aksi final di Velodrom Izu sebelum itu, pingat emas dimenangi Kenny yang sekali gus mempertahankan pingat dimenanginya pada edisi Rio 2016 manakala pingat gangsa menjadi milik pelumba Belanda, Harrie Lavreysen.
Pada masa sama Chong Wei sempat bergurau dengan Azizulhasni mengenai raut muka Kenny yang dilihat jauh lebih tua berbanding jaguh apabila bertanya: “Bro, u sama umur dengan Jason Kenny tu. Tapi kenapa u nampak jauh lagi muda. Apa ramuan bro?.”
ARTIKEL BERKAITAN: 'Pingat perak hadiah istimewa buat bapa'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!